KUCHING, 27 DISEMBER – Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) memasuki hari kelima bagi mengesan mangsa terakhir Vesel Nelayan Tempatan (VNT) karam di perairan Pulau Burong, Kuching Sarawak sejak 17 Disember lalu ditamatkan.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, tiada penemuan baharu tragedi kapal karam tersebut dan Operasi CARILAMAT ditamatkan pada pukul 6.00 petang tadi.
Walau bagaimanapun, operasi akan disambung semula sekiranya terdapat sebarang penemuan dan petunjuk baharu diperolehi.
Untuk rekod, keluasan pencarian pada hari ini ialah 439.97 batu nautika persegi menjadikan jumlah keseluruhan radius pencarian dari hari pertama sehingga hari kelima adalah seluas 1671.92 batu nautika persegi meliputi perairan Tanjung Sipang sehingga ke Triso.
Sebanyak 10 agensi terlibat dalam Op CARILAMAT ini iaitu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin (PPM), Sarawak Coast Guard (SCG), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Lembaga Sungai Sungai Sarawak (LSS) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta bantuan tidak langsung daripada Jabatan Laut Malaysia Sarawak (JLM), Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).
Maritim Malaysia menzahirkan ucapan jutaan terima kasih dan penghargaan kepada semua agensi terlibat secara langsung atau tidak langsung yang telah bertungkus lumus dalam Op CARILAMAT sepanjang lima hari ini berlangsung.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau 082-432016 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

