MERSING, 24 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing telah melaksanakan bantuan aset kepada seorang lelaki yang merupakan penduduk Pulau Aur untuk mendapatkan rawatan segera setelah disyaki mengalami masalah kesukaran bernafas pada pukul 9.30 pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, Pejabat Kesihatan Daerah Mersing telah memohon bantuan Zon Maritim Mersing untuk membawa pesakit terbabit ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan segera setelah beliau diberikan rawatan awal di Klinik Kesihatan Pulau Aur.
Beliau menambah, bot ronda Perkasa 44 milik Maritim Malaysia telah diatur gerak ke Pulau Aur walaupun keadaan cuaca di laut tidak menentu dan bergelora.
Mangsa, Abd Aziz bin Ahrat, 73, dipindahkan ke bot Maritim Malaysia dari Klinik Kesihatan Pulau Aur pada pukul 2.00 petang untuk dibawa ke Mersing dan telah tiba di Jeti Shahbandar Mersing sejam selepas itu. Turut mengiringi beliau, tiga orang pegawai perubatan Klinik Kesihatan Mersing Kanan.
Pesakit terus dibawa ke Hospital Mersing dengan menaiki ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
Sebarang aduan dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Mersing di talian 07-7982529 / 011-53226060 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau talian kecemasan NG999 untuk tindakan segera.



















.svg.png)

