LAHAD DATU, 21 DISEMBER – Akibat pengubahsuaian tangki minyak di atas bot dan gagal melaporkan pertukaran nakhoda, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu telah menahan sebuah bot lampu dan sebuah bot nelayan tempatan lebih kurang pukul 2.55 petang semalam.
Pengarah Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar bin Ali berkata, Bot Maritim yang terlibat dalam Ops Pluto Timur 2/2013 / Ops Tiris 3.0 telah mengesan dua buah bot sedang melakukan aktiviti yang mencurigakan di kedudukan lebih kurang 3.7 batu nautika tenggara Pulau Sakar.
Pemeriksaan awal mendapati, bot lampu berwarna hijau putih itu dikendalikan seorang warga Indonesia dan seorang Palauh manakala bot nelayan tempatan dkendalikan seorang warga Indonesia dan lima orang Palauh. Kesemua mereka berumur dalam lingkungan 25 hingga 40 tahun dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah
Hasil Permeriksaan lanjut mendapati, bot lampu bernombor pendaftaran SA 6907/5/F telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana mengubah suai tangki minyak tanpa kebenaran dan mempunyai lesen tamat tempoh manakala bot nelayan tempatan terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS) iaitu gagal melaporkan pertukaran nakhoda.
Kesemua kru dan bot dibawa ke Jeti Perikanan Lahad Datu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. Nilai tangkapan bagi dua buah bot tersebut adalah lebih kurang RM350 ribu.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.
Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi Whatsapp 016-9305727 atau talian kecemasan 999 untuk maklumbalas segera.



















.svg.png)

