PUTRAJAYA, 21 DISEMBER – Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Haji Mohd Rosli bin Abdullah, menyeru masyarakat untuk meningkatkan tahap keselamatan ketika melakukan aktiviti di laut sepanjang musim cuti sekolah dan perayaan Hari Natal yang bakal disambut rakyat Malaysia beragama Kristian pada 25 Disember ini.
Beliau turut meminta agar mereka yang ingin melakukan aktiviti di laut sentiasa memakai jaket keselamatan selain memastikan bot yang dinaiki berada dalam keadaan selamat.
Peringatan ini penting memandangkan cuaca yang tidak menentu pada penghujung tahun akibat Monsun Timur Laut.
“Statistik yang dikeluarkan oleh Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia dari tahun 2006 hingga 20 Disember 2024 adalah sebanyak 3,275 kes dengan 16,420 mangsa terlibat insiden di laut telah direkodkan. Daripada jumlah mangsa tersebut, 1,643 mangsa telah dilaporkan meninggal dunia dan 777 mangsa masih diklasifikasikan sebagai hilang,”
“Sementara itu statistik dari Januari hingga 20 Disember tahun ini telah merekodkan sebanyak 216 kes insiden di laut dengan 1,253 mangsa. Daripada jumlah tersebut, 62 orang dilaporkan meninggal dunia dan 26 orang dikategorikan hilang,” tambah beliau.
Datuk Haji Mohd Rosli dalam pada itu turut mengingatkan semua pengendali bot penumpang untuk memastikan bot yang digunakan dalam keadaan baik serta menyediakan jaket keselamatan sebelum beroperasi, selain tidak membawa penumpang melebihi kapasiti yang ditetapkan.
Terdahulu beliau meminta kerjasama orang ramai untuk melaporkan sebarang aduan kecemasan di laut melalui talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim yang terdekat untuk tindakan segera.

















.svg.png)

