KUANTAN, 20 DISEMBER – Seorang pesakit wanita yang mengalami sawan dan memerlukan bantuan imbasan kepala dengan kadar segera di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan, Pahang dengan bantuan aset udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada petang semalam.
Misi bantuan Medical Evacuation (MEDEVAC) telah dilaksanakan aset AW 139 setelah menerima panggilan Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuantan mendapat panggilan daripada doktor Klinik Kesihatan Tekek sekitar pukul 10.16 pagi semalam.
Pesawat AW 139 telah berlepas dari Stesen Udara Subang pada pukul 3.52 petang dan tiba di Lapangan Terbang Pulau Tioman pada pukul 5.07 petang.
Pesakit, Emaerdawati binti Othman, 47 tahun diiringi oleh anak lelaki beliau dan empat orang staf kesihatan tiba di Padang Kemunting Majlis Perbandaran Kuantan 4 (MPK 4) pada pukul 6.07 petang, seterusnya dipindahkan ke ambulans pada pukul 6.20 petang untuk mendapatkan rawatan kecemasan di HTAA.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkan ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian kecemasan 999.



















.svg.png)

