KUALA KURAU, 17 DISEMBER – Bilik Operasi Zon Maritim Kuala Kurau menerima satu panggilan kecemasan daripada Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Langkawi yang memaklumkan, seorang lelaki warga China bernama Huang Zhiang melaporkan kapal layar beliau mengalami masalah jentera di 8.0 batu nautika barat daya Kuala Kurau pada jam 6.50 pagi tadi.
Susulan panggilan itu, bot PERKASA 1238 telah diatur gerak ke lokasi yang dinyatakan bagi melakukan pencarian awal.
Pada jam 8.40 pagi, kapal berkenaan dikesan berada dalam keadaan berapung di sekitar kawasan tersebut.
Berikutan kejadian itu, pihak agensi telah memberikan bantuan dengan mengiringi kapal layar terbabit dengan dibantu oleh sebuah bot nelayan untuk menunda ke Pulau Pinang bagi mendapatkan pembaikan segera.
Terdahulu mangsa dilaporkan telah belayar dari perairan Johor menuju ke Langkawi telah berada di laut selama 27 hari.
Pihak Maritim Malaysia mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang terlibat dalam membantu kapal layar tersebut bagi meneruskan perjalanan ke negara asal China.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.



















.svg.png)

