LUMUT, 17 DISEMBER – Maritim Negeri Perak menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama empat nelayan warga asing di kedudukan 7.0 batu nautika barat daya Sungai Tiang, Perak pada sekitar jam 12.20 tengah hari Sabtu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel terbabit dikesan ketika sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi bot ronda yang sedang melakukan rondaan di lokasi terbabit.
Hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 45 tahun.
Pemeriksaan lanjut turut mendapati, vesel terbabit disyaki melakukan aktiviti perikanan di kawasan yang tidak dibenarkan selain kru disyaki mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti perikanan kurang dari 15 batu nautika dari daratan serta Akta Imigresen 1959/63 kerana mempunyai dokumen pengenalan diri yang meragukan.
Kesemua nelayan ditahan, manakala vesel dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang sudah diperuntukkan oleh kerajaan.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia melalui Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

