PASIR PUTEH, 15 DISEMBER – Maritim Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan telah menamatkan koordinasi operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang diaktifkan pada petang semalam setelah mayat seorang kanak-kanak lelaki yang dilaporkan lemas di Pantai Kandis, Bachok, Kelantan telah berjaya ditemui kira-kira pukul 11.15 pagi hari ini.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, mangsa telah berjaya dijumpai dalam keadaan terapung oleh orang awam yang kemudiannya memaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang turut sama membantu dalam operasi CARILAMAT tersebut kira-kira 6 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan terjatuh iaitu berdekatan kawasan Pulau Kambing, Bachok.
Tambah beliau, jenazah mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) untuk tindakan lanjut setelah identiti mangsa disahkan oleh pihak polis dan keluarga mangsa.
Terdahulu, mangsa yang dikenali sebagai Muhammad Naufal Arsyad bin Muhammad Aiman Hafiz berusia 8 tahun, dilaporkan sedang bermain di kawasan pemecah ombak bersama ahli keluarga dan jirannya sebelum didapati hilang oleh ibunya dan disyaki telah dihanyutkan oleh ombak kira-kira pukul 7.00 petang semalam.
Operasi CARILAMAT yang berlangsung selama dua hari ini telah meliputi kawasan pencarian seluas 12 batu nautika persegi menggunakan 4 buat bot dari Maritim Negeri Kelantan, Pasukan Polis Marin, Bomba dan APM.
Pencarian turut dibantu oleh Agensi Sahabat iaitu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Maritim Malaysia merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua agensi dan jabatan yang telah terlibat sepanjang Operasi CARILAMAT dilaksanakan yang telah dikoordinasikan oleh MRSC Kuantan.
Maritim Negeri Kelantan sekali lagi mengingatkan kepada orang awam agar sentiasa mementingkan aspek keselamatan semasa melakukan sebarang aktiviti di pesisiran pantai.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya menangguhkan dahulu sebarang aktiviti di pantai ketika Musim Monsun Timur Laut yang sedang melanda negara ketika ini.




















.svg.png)

