PULAU PINANG, 8 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menerima maklumat melalui Maritime Rescue Sub Coordination Centre (MRSC) Langkawi bahawa seorang lelaki warga tempatan jatuh laut sewaktu melakukan aktiviti perikanan sekitar pukul 5.00 petang semalam.
Menurut pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Razali bin Kasim, sejurus aduan diterima, bot peronda Maritim Malaysia digerakkan serta merta ke lokasi pencarian sebagai On Scene Coordinator (OSC).
Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) terus diaktifkan sekitar pukul 5.35 petang semalam sejurus pasukan bot penguat kuasa Maritim Malaysia diarahkan ke lokasi pencarian mangsa.
“Operasi CARILAMAT diteruskan pada hari ini dengan pertambahan bot Maritim Malaysia dan penglibatan pelbagai agensi lain. Penglibatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta dua buah vesel nelayan tempatan juga turut dalam operasi CARILAMAT ini.”
mayat mangsa warga tempatan berumur 27 tahun itu kemudiannya telah ditemui terapung di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang sekitar pukul 1.58 petang tadi dengan jarak keseuruhan kawasan pencarian 7.35 batu nautika persegi,” tambah beliau.
Mayat mangsa tersebut telah disahkan oleh waris di tempat kejadian dan diserahkan kepada PDRM untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia mengucapkan terima kasih kepada agensi serta pasukan sahabat di atas kerjasama dalam proses pencarian mangsa sehingga mayat tersebut ditemui.





















.svg.png)

