KUALA KURAU, 5 Disember - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah vesel nelayan tempatan kelas C bersama tiga warga asing termasuk tekong di kedudukan 14.6 batu nautika barat daya Kuala Kurau, Perak pada pukul 1.45 petang semalam.
Vesel terbabit dikesan ketika melakukan aktiviti perikanan oleh anggota bot Perkasa 1238 dan hasil pemeriksaan mendapati vesel dikendalikan oleh tiga orang kru warganegara Myanmar berumur dalam lingkungan 28 hingga 41 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, vesel terbabit menggunakan nelayan asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.
Kesemua nelayan ditahan, vesel dan hasil tangkapan beserta peralatan menangkap ikan turut dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia menegaskan agar komuniti maritim sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan bagi mengelakkan tindakan undang-undang diambil.
Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau (05-7279919) atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

