BATU PAHAT, 2 DISEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Batu Pahat telah menahan sebuah bot gentian kaca yang dipercayai telah ditinggalkan tanpa juragan di perairan Senggarang, Batu Pahat, Johor, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini bin Zainal berkata, pihaknya telah menerima aduan awam memaklumkan terdapat sebuah bot yang mencurigakan berada di kedudukan 0.2 batu nautika Barat Daya Sungai Terus, Senggarang.
Bertindak atas laporan itu, aset (Maritim Malaysia) telah diatur gerak ke lokasi aduan terbabit.
Setelah tiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia menemukan sebuah bot gentian kaca tiada nombor pendaftaran berwarna biru beserta dua buah enjin sangkut 30hp dan 75hp yang ditinggalkan tanpa kelibat juragan atau awak-awak.
Menurut Mohammad Zaini lagi, bot gentian kaca ini dipercayai baru saja ditinggalkan oleh individu yang disyaki melakukan aktiviti penyeludupan di kawasan sekitar perairan Senggarang.
Tambah beliau, suspek mungkin menyedari kehadiran penguat kuasa Maritim Malaysia lalu bertindak terjun laut dan melarikan diri. Bot dan enjin tersebut dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Batu Pahat untuk siasatan lanjut.
Maritim Malaysia akan terus mempergiatkan lagi tugas pemantauan, rondaan dan penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan perlanggaran undang-undang dapat dibanteras dan dikurangkan malahan akan terus memastikan perairan Johor khususnya Batu Pahat selamat, aman dan terkawal.
Sebarang aduan dan maklumat boleh disalurkan melalui talian hotline, Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian 07- 4344020 atau melalui talian bantuan kecemasan 999.

















.svg.png)

