BINTULU, 24 NOVEMBER – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, Valentino Austin Anak Richie, yang dilaporkan hilang akibat lemas ketika mandi di Pantai Batu Mandi, Samalaju, akhirnya ditemukan meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa ditemukan aset Maritim Malaysia BOT KILAT 43 dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) pada hari kedua jam 9.18 pagi, 24 November (Ahad).
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Jeti Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) Bintulu pada jam 10.46 pagi untuk pengecaman oleh waris sebelum diserahkan kepada pihak polis dan proses bedah siasat.
OP CARILAMAT ditamatkan pada jam 11.15 pagi selepas penemuan mayat mangsa.
Terdahulu insiden ini telah disahkan oleh Pusat Penyelaras Mencari dan Menyelamat Maritim (MRSC) Kuching selepas menerima aduan daripada seorang saksi yang memaklumkan kejadian mangsa dikhuatiri lemas sebelum hilang dibawa arus pada 23 November (Sabtu), pada sekitar jam 4.45 petang.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai seluar pendek bercorak hitam putih tanpa baju pada hari kejadian. Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) segera diaktifkan pada jam 5.15 petang hari yang sama dengan penglibatan agensi sahabat.
Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) telah ditubuhkan di Pantai Batu Mandi, di bawah penyeliaan Leftenan Madya Maritim Ahmad Syahmi bin Ibrahim.
Pencarian mangsa menghadapi cabaran besar disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan angin bertiup dari arah timur laut dengan kelajuan antara 30 hingga 40 km/j, sementara ketinggian ombak mencapai ketinggian antara 1.5 hingga 2.5 meter.
Selain Maritim Malaysia, agensi lain yang terlibat ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Polis Marin (PPM), serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Maritim Malaysia mengingatkan orang awam terutamanya komuniti maritim agar lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti di pantai dan meningkatkan langkah-langkah keselamatan terutamanya ketika negara sedang mengalami Monsun Timur Laut.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Mraitim Bintulu melalui talian 086-314 254 /Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) / talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

