KOTA KINABALU, 20 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu, telah melaksanakan program hebahan 'Preventive SAR' terhadap komuniti maritim di sekitar perairan Sabah, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, aset Maritim Malaysia iaitu BOT KILAT 39 telah diatur gerak untuk melaksanakan hebahan tersebut sebagai langkah waspada dalam menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).
Dalam hebahan itu, komuniti maritim telah diberi taklimat mengenai kepentingan memakai jaket keselamatan, menyemak keadaan cuaca, penggunaan Personal Locator Beacon (PLB) dan memeriksa keadaan vesel atau bot sebelum turun ke laut.
Turut diedarkan ialah pelekat yang tertera talian kecemasan 999 dan Pusat Operasi Maritim Negeri sebagai rujukan sekiranya berlaku sebarang insiden ketika berada di laut.
Secara keseluruhannya, program ini dilihat telah mendapat sambutan yang positif daripada golongan sasar seperti pengendali bot dan kapal, pelancong serta penduduk setempat.
MRSC Kota Kinabalu akan meneruskan program seperti ini di lokasi lain pada masa hadapan dan sebarang kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan 088-387774 / 088-387776 / 010-3393442.





















.svg.png)

