PULAU PINANG, 20 NOVEMBER – Maritim Negeri Pulau Pinang telah melaksanakan dua tangkapan berasingan terhadap pekerja asing tanpa izin (PATI) di beberapa buah sangkar ikan di perairan Batu Kawan, baru-baru ini.
Pengarahnya, Kepten Maritim Razali bin Kasim berkata, pemeriksaan pertama yang telah dilakukan pada sebelah pagi oleh aset Maritim Malaysia mendapati, terdapat dua pekerja warga Myanmar gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ditahan di salah sebuah sangkar ikan yang diserbu anggota penguat kuasa.
Dalam masa sama, sebuah lagi aset Maritim Malaysia telah melakukan tangkapan terhadap lapan pekerja asing sangkar ikan yang berada di kedudukan 1.4 batu nautika selatan Pulau Aman, di mana kesemuanya juga warga Myanmar dengan kesalahan yang serupa.
Kesemua yang ditahan adalah dalam lingkungan umur 20 hingga 44 tahun disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.
Kesemua mereka kini telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.


















.svg.png)

