PASIR PUTEH, 18 NOVEMBER – Maritim Negeri Kelantan telah berjaya menggagalkan dua cubaan menyeludup kira-kira 800,000 batang rokok putih dengan anggaran nilai RM300 ribu di perairan Tumpat dan Kuala Besar,Kelantan.
Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Erwan Shah bin Soahdi berkata, bagi tangkapan pertama, cubaan menyeludup rokok menggunakan sebuah bot pancung berjaya dikesan hasil dari maklumat risikan kira-kira pukul 4.00 pagi Jumaat lalu.
Bot pancung tanpa nombor pendaftaran itu dikesan bergerak dalam keadaan laju dan mencurigakan di muara Sungai Tumpat sebelum bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran bot peronda Maritim Negeri Kelantan.
Bot Peronda Maritim bertindak mengejar bot pancung berwarna biru tersebut hampir 20 minit sehingga memasuki kawasan hutan bakau dan penyeludup telah bertindak merempuh pokok bakau di kawasan tersebut.
Bot pancung tersebut seterusnya berjaya ditahan di kedudukan kira-kira 5 batu nautika dari Muara Pengkalan Kubor lebih kurang pukul 4.20 pagi namun suspek telah berjaya meloloskan diri dipercayai melarikan diri ke dalam hutan paya bakau berhampiran.
Keadaan air surut, gelap dan berlumpur menyukarkan pasukan operasi mengeluarkan bot pancung bersama muatan yang terkandas itu untuk dibawa ke Jeti Maritim Negeri Kelantan bagi tindakan lanjut.
Bot pancung yang membawa 51 peti yang mengandungi lebih 500,000 batang rokok putih bersama tiga enjin 200 kuasa kuda setiap satu telah dirampas.
Maklumat risikan juga telah membawa kepada kejayaan tangkapan kedua dimana 28 peti yang mengandungi kira-kira 300,000 batang rokok putih berjaya dirampas lebih kurang jam 12.30 pagi hari ini.
Rampasan dilakukan oleh sebuah bot peronda agensi yang diatur gerak ke lokasi tangkapan sejurus mendapat maklumat dari unit risikan dimana anggota operasi mendapati kesemua peti rokok tersebut ditinggalkan suspek di tebing sebuah sungai berdekatan dengan Pulau Gagak, Kuala Besar, Kelantan.
Hasil keseluruhan rampasan bagi kedua-dua tangkapan dianggarkan bernilai kira-kira RM600 ribu. Kes akan disiasat mengikut Akta Kastam 1967.





















.svg.png)

