MIRI, 14 NOVEMBER – Mahkamah Sesyen Miri menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM3 Juta kepada 15 nelayan warga Vietnam atas kesalahan menceroboh perairan negara pada 5 dan 9 Oktober lalu di kedudukan 179 Batu nautika dari Tanjung Baram di sini hari ini.
Keputusan itu telah dibuat oleh Hakim Puan Azreena Aziz selepas tiga pertuduhan dibacakan terhadap kesemua tertuduh yang berusia di antara 30 hingga 66 tahun selepas didapati bersalah mengikut Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 dan dibaca bersama seksyen 25 (a) akta yang sama.
Dalam pertuduhan pertama dan kedua, Hakim telah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1 juta atau penjara selama lapan bulan kepada tekong dan denda sebanyak RM250 ribu setiap orang atau penjara selama lima bulan terhadap 10 awak-awak termasuk tekong bagi vesel penangkap ikan asing bernombor pendaftaran TG93997TS dan TG9499TS.
Manakala pertuduhan ketiga pula, tekong didenda sebanyak RM1 juta atau penjara selama enam bulan serta empat awak-awak didenda sebanyak RM250 ribu setiap seorang atau penjara selama empat bulan bagi vesel penangkap ikan asing bernombor pendaftaran TG92023TS.
Bagi pertuduhan seterusnya, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda kepada pemilik empat vesel nelayan tempatan sebanyak RM2 ribu dan RM1,500 kepada dua pemilik vesel nelayan tempatan yang lain.
Nilai keseluruhan hukuman denda dianggarkan sebanyak RM3 juta telah dikenakan terhadap pemilik, tekong dan awak-awak vesel terbabit.
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan hasil lelongan minyak diesel dan tangkapan laut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Muhamad Azham bin Marwan, manakala semua tertuduh vesel nelayan asing diwakili oleh peguam masing-masing.


















.svg.png)

