ROMPIN, 8 November – Seorang wanita sarat mengandung mengalami masalah darah beku dan nadi tidak stabil yang memerlukan rawatan segera di Klinik Kesihatan Tekek, Pulau Tioman telah dibawa ke Hospital Pekan, Pahang dengan bantuan aset laut Maritim Negeri Pahang, petang tadi.
Bantuan itu telah dilakukan dalam Misi Medical Evacuation (MEDEVAC) oleh aset ronda Pos Maritim Teluk Gading, Rompin iaitu BOT PENGGALANG 14 setelah menerima panggilan dari doktor Klinik Kesihatan Tekek pada sekitar jam 11.40 pagi tadi.
Pesakit, Nur Amirah Atiqah binti Abd Rahman, 24 dengan kandungan berusia 33 minggu mengalami komplikasi 'maternal tachycardia secondary to maltifactorial' perlu mendapatkan rawatan segera di Hospital Pekan.
Dalam misi itu, pesakit yang turut diiringi suami dan staf kesihatan telah tiba dengan selamat di Jeti Pos Maritim Teluk Gading pada jam 3.50 petang, sebelum dipindahkan ke ambulan untuk dikejarkan ke Hospital Pekan.
Perkhidmatan bantuan MEDEVAC merupakan salah satu daripada tugas Maritim Malaysia dalam membantu masyarakat khususnya komuniti maritim bagi mendapatkan rawatan kecemasan dengan segera.
Orang ramai yang mempunyai aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut, boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang melalui talian 09-5717345 atau NG 999 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

