SEKINCHAN, 7 NOVEMBER – Sebuah kapal tanker ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor kerana bersauh tanpa kebenaran di perairan Sekinchan semalam.
Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal tanker itu ditahan bot ronda Maritim Malaysia di kedudukan 9.6 batu nautika barat daya Sekinchan pada pukul 5.00 petang hari berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati, seramai 13 kru terdiri daripada enam warga Myanmar, empat warga Bangladesh dan tiga warga Indonesia berada di atas kapal tanker itu ketika ditahan.
Hasil pemeriksaan lanjut terhadap dokumen mendapati, nakhoda kapal terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran bersauh di perairan Malaysia ketika diperiksa.
Nakhoda kapal, 56 tahun dan ketua jurutera, 39 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Selangor, Pelabuhan Klang untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(l) Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Maritim Malaysia sentiasa memantau dan memastikan perairan negara terkawal dari sebarang pencerobohan dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang yang dilakukan di perairan negara.
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 013-6606652 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

