LUMUT, 7 NOVEMBER – Maritim Negeri Perak merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kamban di kedudukan sekitar 0.4 batu nautika dari timur laut Pulau Talang, Perak pada jam 12.55 tengah hari semalam.
Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu yang berukuran kira-kira 10 meter panjang setiap satu itu didapati dipasang secara berangkai telah dikesan Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin dengan penemuan bendera yang mencurigakan di lokasi berkenaan.
Tinjauan secara dekat oleh anggota bot ronda Maritim Malaysia mengesahkan, bendera yang terapung di permukaan air itu diikat pada pancang kayu adalah sebagai penanda bubu naga yang dipasang oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.
Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai hampir tiga ribu ringgit itu dirampas dan kemudiannya diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.
Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
Maritim Negeri Perak menegaskan akan menggandakan rondaan dan terus membuat rampasan ke atas bubu naga serta tidak akan berkompromi dalam mengenakan tindakan ke atas pesalah yang melakukan aktiviti menyalahi undang-undang ini.
Orang ramai diseru agar terus berkongsi maklumat bagi sebarang pelanggaran undang-undang di laut dengan menyalurkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

