KUCHING, 2 NOVEMBER – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching, menerima aduan berkenaan kehilangan sebuah bot pancing bersama tiga kru dan lima pemancing pada jam 5.00 petang, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Haji Kamal Ariffin bin Jusoh berkata, kesemua mangsa (pemancing) Husin bin Ayub, 67, Samarin bin Sharkawi, 33, Mohamad Haikal bin Sharkawi, 17, Mohd Azizi bin Hamzi, 17, Dahlan bin Ramli, 41, Hasrin bin Ismail, 53, Johari bin Bujang, 51 dan Abdullah bin Ajek, 56, menaiki bot pancing bernombor pendaftaran QKH 9848 Z telah keluar ke laut dari Jeti Semariang Batu pada jam sekitar 9.00 pagi, Khamis lalu.
Menurut maklumat yang diterima dari salah seorang anak mangsa, kelapan- lapan pemancing itu sepatutnya pulang ke jeti pada Khamis (31 Oktober), sekitar jam 2.00 petang namun tidak berbuat demikian sehingga kini.
Sejurus menerima aduan itu, MRSC Kuching mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) dengan mengatur gerak BOT PENGAWAL 42 bersama tujuh anggota ke lokasi pencarian iaitu seluas 100 batu nautika persegi.
Memasuki hari kedua, sektor pencarian diperluaskan kepada 533.80 batu nautika persegi kerana kesemua mangsa masih belum ditemukan semalam.
Untuk hari kedua, pesawat udara CN 325 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut dikerahkan untuk membantu dalam Op CARILAMAT ini dengan melakukan pemantauan dari udara.
Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim khususnya golongan pemancing agar sentiasa mengambil berat terhadap langkah-langkah keselamatan sewaktu berada di laut, pakai jaket keselamatan dan digalakkan membawa personal locator beacon (PLB).
Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak / MRSC Kuching melalui talian 082 – 432006 atau talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

