BINTULU, 21 OKTOBER – Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda di kedudukan 3 batu nautika barat laut Kuala Kemena, Bintulu pada sekitar jam 3.25 petang tadi.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Muhammad Suffian Eldine bin Abdullah berkata, bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam OP PERMAI 01/2019 dan OP TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap bot tunda berwarna putih yang sedang menunda sebuah tongkang membawa muatan kayu balak.
Ketika pemeriksaan, bot tunda itu didapati dalam pelayaran menuju perairan Bintulu dari Bintangor.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot tunda tersebut dikendalikan oleh dua kru termasuk nakhoda warga Myammar, dua kru warga Indonesia, seorang kru warga India dan seorang kru warga tempatan, kesemua mereka dalam lingkungan umur 29 hingga 44 tahun.
Bot tunda itu disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu tidak memaklumkan secara bertulis kepada Pendaftar Kapal berhubung pertukaran nakhoda dalam sijil pendaftaran kapal yang memperuntukan hukuman kompaun sebanyak RM2,500.
Bot tunda berserta kru ditahan dan diiring masuk ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan sebarang maklumat, aduan serta insiden kecemasan orang ramai boleh melaporkannya ke talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

