KUANTAN, 23 OGOS – Maritim Negeri Pahang dan Zon Maritim Mersing menahan sebuah kapal kargo sarat dengan 420 guni serbuk bijih timah dianggarkan bernilai RM1.5 juta dipercayai cuba diseludup masuk dari negara jira dalam satu operasi khas Rabu lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan bin Mat Rejab berkata, kapal kargo itu dikesan dalam keadaan mencurigakan menuju ke Sungai Endau oleh bot ronda Maritim Malaysia.
Pergerakan dan aktiviti kapal kargo berkenaan terus dipantau seterusnya ditahan di jeti pendaratan ikan persendirian Tanjung Gemok, Kuala Rompin kira-kira pada jam 11.30 malam.
Pemeriksaan mendapati, kapal kargo itu didaftarkan di Indonesia, ketika ditahan ia dikendalikan oleh seorang nakhoda bersama tiga kru kesumanya warga Indonesia berusia di antara 34 hingga 40 tahun bersama timbunan bungkusan guni berisi pasir hitam yang disyaki tin ore (bijih timah).
Hasil pemeriksaan ke atas dokumen mendapati, kesemua suspek tidak memiliki kebenaran untuk membawa muatan kargo atau barang berduti dan merapat di jeti pendaratan ikan persendirian, nakhoda kapal turut tidak memaklumkan ketibaan kepada pihak berkuasa dan tiada pengenalan diri yang sah.
Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Akta Imigresen 1959/63.
Kapal kargo, nakhoda kapal dan kesemua kru bersama hasil rampasan ditahan sebelum dibawa ke jeti Pos Maritim Teluk Gading untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan terutamanya di perairan Pahang khasnya.
Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut boleh terus menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau melalui talian bantuan kecemasan NG 999.



















.svg.png)

