LABUAN, 7 OGOS – Zon Maritim Labuan telah menahan sebuah kapal kargo di kedudukan 0.6 batu nautika Barat Daya Pulau Papan, Labuan hari ini.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kepten Maritim Izwanhadi bin Hj. Idros berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang dalam rondaan OP SEJAHTERA 1/2022 dan OP TIRIS 3.0 telah melakukan pemeriksaan terhadap kapal kargo berwarna putih biru yang sedang beroperasi.
Hasil pemeriksaan, kapal kargo tersebut dipercayai dikendalikan oleh seorang Chief Officer berumur 24 tahun dan Chief Engineer berumur 59 tahun, masing-masing adalah warga tempatan.
Bot disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu beroperasi tanpa nakhoda dan rakit keselamatan serta alat pemadam api telah tamat tempoh.
Chief Officer dan ketua jurutera kapal kargo berserta dokumen telah ditahan dan diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan lanjut.
Izwanhadi berkata, orang ramai boleh menyalurkan informasi kelakuan jenayah di laut dengan terus menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087 - 427999 atau talian kecemasan NG999 yang beroperasi 24 jam setiap hari.




















.svg.png)

