KUALA PERLIS, 17 JULAI - Disangkakan bubu naga dipasang untuk menangkap ikan, rupanya ia adalah sangkar siput.
Dalam kejadian petang semalam, sebuah vesel nelayan tempatan telah melarikan diri selepas menyedari kehadiran bot peronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis ketika mereka sedang memasang pancang kayu di permukaan air di kedudukan 0.9 batu nautika dari barat pantai Kuala Sanglang, Perlis semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd Hashim bin Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melakukan rondaan Op Aman di sekitar perairan Perlis tiba di lokasi berkenaan setelah melihat tindakan mencurigakan dilakukan oleh nelayan terbabit.
Pada awalnya pihak penguat kuasa Maritim Malaysia menyangkakan ia adalah penanda lokasi bubu naga dipasang namun, ketika ditarik objek tersebut bukan bubu naga tetapi sebuah sangkar siput yang ditinggalkan oleh nelayan berkenaan.
Sangkar siput yang dianggarkan bernilai RM1 ribu itu dirampas dan dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis bagi siasatan dan tindakan lanjut.
Pemilik sangkar siput boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia sebelum suatu lesen berkenaan dengannya dikeluarkan.
Maritim Malaysia meminta kerjasama orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes salah laku atau jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini dengan menghubungi talian kecemasan NG999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Perlis di talian 04-9851072 atau 04-9851162.




















.svg.png)

