PELABUHAN KLANG, 11 JULAI – Sebuah kapal kargo ditahan Maritim Negeri Selangor di kedudukan kira-kira 1.1 batu nautika barat laut Sungai Puloh, Kapar semalam.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, penahanan itu dibuat sekitar 11.30 malam oleh bot peronda Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin OP EHSAN, dan OP TIRIS 3.0 di perairan Selangor.
Hasil pemeriksaan awal mendapati, kapal terbabit dikendalikan oleh seorang nahkoda berumur 41 tahun warga Indonesia bersama empat kru dalam lingkungan umur 28 hingga 50 tahun yang juga warga Indonesia.
Kesemua mereka mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap Hasil pemeriksaan lanjut ke atas dokumen kapal mendapati, nakhoda kapal berkenaan gagal mengemukakan sijil insuran yang sah.
Berikutan itu kesemua kru termasuk nakhoda kapal telah ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan sijil insuran yang sah.
Maritim Malaysia akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang di kawasan perairan Malaysia khususnya perairan Selangor.
Sebarang aduan, maklumat atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor (013-6606652) / Pusat Operasi Maritim Malaysia (03-89957820) untuk maklum balas segera.




















.svg.png)

