KUDAT, 10 JULAI – Zon Maritim Kudat telah berjaya mematahkan cubaan seludup daging spesis terancam yang dipercayai penyu dan balat di perairan Kudat, Ahad lalu.
Pengarahnya, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bertindak hasil maklumat risikan, aset Maritim Malaysia yang sedang menjalankan OP SEJAHTERA / OP NAGA TIMUR / OP PERKASA PUTIH / OP TIRIS 3.0 telah diatur gerak bagi mengesan sebuah bot yang dilaporkan sedang melakukan aktiviti mencurigakan di kawasan pesisir timur Pantai Tanjung Kalutan, Kudat pada sekitar jam 5.00 petang hari berkenaan.
Jelas Maurice lagi, semasa cuba menghampiri bot terbabit, suspek telah bertindak melarikan diri ke kawasan cetek bagi mengelakkan daripada ditahan pihak penguat kuasa Maritim Malaysia.
Tambah beliau, setibanya bot ronda Maritim Malaysia di lokasi, pihaknya telah menemukan 23 guni daging penyu kering dianggarkan seberat 160 kilogram serta 52 guni balat kering dengan anggaran berat 500 kilogram yang telah dicampak oleh suspek.
Kesemua barangan rampasan yang dianggarkan bernilai lebih RM200 ribu itu telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim untuk disiasat di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 kerana disyaki cubaan menyeludup spesis haiwan terlindung.
Terdahulu dalam kejadian berasingan, Maurice turut memaklumkan Zon Maritim Kudat telah berjaya menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran kerana melakukan beberapa jenis kesalahan di kedudukan lebih kurang 1.85 batu nautika tenggara Tagumamal Laut, Kudat, Sabtu lalu.
Hasil pemeriksaan, anggota Zon Maritim Kudat telah menahan dua individu yang mengendalikan bot terbabit yang juga merupakan warga tempatan berumur lingkungan 17 dan 27 tahun.
Kedua-dua suspek bersama bot serta hasil tangkapan telah ditahan dan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 kerana tidak mempunyai lesen perikanan dan menangkap ikan dengan menggunakan peralatan yang tidak dibenarkan.
Berikutan dua kejadian tersebut, Zon Maritim Kudat meminta masyarakat khususnya komuniti maritim di Kudat agar mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan selain turut membantu Maritim Malaysia melaporkan sebarang salah laku atau kegiatan jenayah yang berlaku di laut ke talian 088-611858 (Pusat Operasi Kudat) dan talian MERS 999 yang beroperasi 24 jam.


















.svg.png)

