KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah berjaya menahan dua buah vesel nelayan asing Vietnam di kedudukan 95.01 batu nautika Tenggara Muara Terengganu pada Khamis lalu.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abdul Majid memaklumkan, kedua-dua vesel tersebut telah ditahan oleh kapal peronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan perairan Malaysia.
Jelas beliau, seramai 20 orang kru termasuk tekong telah diperiksa dan didapati tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri dan melakukan aktiviti perikanan tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Hasil pemeriksaan lanjut mendapati kru dan tekong berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun dipercayai telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
“Kedua-dua vesel terbabit telah dibawa masuk ke Jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.
“Manakala nilai rampasan keseluruhan kedua-dua vesel terbabit dianggarkan berjumlah RM3 juta,” katanya lagi.
Untuk rekod, Maritim Negeri Terengganu telah mencatatkan sebanyak 15 kes tangkapan vesel nelayan asing Vietnam pada tahun ini termasuk kes terbaharu ini dengan nilai rampasan keseluruhan sebanyak RM16.5 juta dan 123 orang kru termasuk tekong telah ditahan.
Maritim Malaysia akan terus memperkasakan kesiapsiagaan aset bagi memastikan perairan negara khususnya perairan Negeri Terengganu terus terjaga daripada pencerobohon vesel nelayan asing.




















.svg.png)

