MERSING, 11 JUN – Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot tunda Singapura bersama tongkang pada kedudukan lebih kurang 3.5 batu nautika barat Pulau Harimau pada jam 11.00 pagi tadi.
Pengarahnya, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, bot tunda bersama tongkang itu ditahan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika OP JAKSA dan OP TIRIS.
Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua aset dari Singapura itu disyaki telah melakukan kesalahan kerana tidak melaporkan ketibaan dan bersauh tanpa kebenaran Pengarah Jabatan Laut Malaysia.
Pemeriksaan ke atas dokumen pula mendapati, kesemua tujuh kru daripada kedua-dua bot itu merupakan warga Indonesia berumur dalam lingkungan 25 hingga 44 tahun termasuk Nakhoda.
Bot serta kru ditahan seterusnya dibawa ke jeti Maritim Mersing untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952.
Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera.


















.svg.png)

