TANJUNG MANIS, 21 MEI – Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C pada jarak kira-kira enam batu nautika barat Pantai Alit, malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis, Komander Maritim Gilbert Tinggak Anak Numpang berkata, bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan rutin OP PERMAI dan OP TIRIS 3.0 di sekitar perairan Kabong telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan yang mencurigakan melakukan aktiviti perikanan pada sekitar jam 10.20 malam.
Hasil pemeriksaan dan penggeledahan ke atas bot itu mendapati, lima kru termasuk tekong warga tempatan berumur dalam lingkungan 25 hingga 42 tahun disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menjalankan aktiviti menunda pukat kurang 10 batu nautika dari pantai.
Bot beserta kru ditahan sebelum diiring ke Jeti Terminal Penumpang Tanjung Manis untuk siasatan di bawah Akta Perikanan 1985.
Maritim Malaysia menyarankan kepada semua komuniti maritim agar mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut dan melaporkan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa.
Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan, orang ramai boleh menyalurkannya ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Zon Maritim Tanjung Manis di talian 011-35728765 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

