LUMUT, 19 MEI – Maritim Negeri Perak menyerahkan empat nelayan warga Indonesia kepada wakil konsulat negara itu semalam selepas bot yang dinaiki mereka dilanggar oleh sebuah kapal kargo ketika cuaca hujan lebat dan angin kencang pada jarak 90.6 batu nautika dari barat daya Pulau Pinang pada sekitar jam 9.00 pagi Khamis lalu.
Mereka telah diselamatkan oleh kapal kargo CMA CGM RIVOLI pada sekitar jam 7.00 petang hari yang sama.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, penyerahan empat nelayan terbabit iaitu Muhamad Solihin, 53, Dady Shahputra, 39, Asri, 44 dan Jampur, 53 tahun yang berasal dari Medan, Indonesia dibuat di hadapan wakil Konsulat Republik Indonesia iaitu Lieutenant Commander Sumar Sadewo di Ibu Pejabat Maritim Negeri Perak semalam.
Namun, salah seorang daripada mangsa yang berusia 53 tahun itu mengalami kecederaan tangan, rusuk dan kaki kanan akibat terkena serpihan kaca hanya akan dibawa pulang selepas sesi rawatan lanjut di Hospital Seri Manjung selesai.
Terdahulu, menurut wakil Konsulat Republik Indonesia, Lieutenant Commander Sumar Sadewo memaklumkan, seorang lagi kru bot yang dikenali sebagai Abdul Malek, 56 yang sebelum ini dipercayai masih hilang telah ditemukan dalam keadaan sihat dan selamat oleh nelayan tempatan di perairan Indonesia.
Untuk rekod dalam kejadian itu, Pusat Operasi Maritim Negeri Perak telah menerima maklumat daripada MRSC Langkawi justeru mengatur gerak aset KM MALAWALI yang diketuai oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Arizan Hakimi bin Mohd Zin ke lokasi pertemuan pada jarak 4.1 batu nautika dari barat pulau Jarak, Perak bagi mengambil kesemua mangsa dari kapal kargo CMA CGM RIVOLI.
Urusan penghantaran pulang kesemua nelayan itu akan dilakukan oleh pihak Indonesia sendiri dan wakil konsulat bersetuju menerima mangsa setelah selesai sesi pengesahan dan proses dokumentasi.
Penyerahan kesemua nelayan warga Indonesia ini membuktikan hubungan baik yang sedia terjalin di antara Malaysia dan Indonesia sentiasa terpelihara dalam memastikan keselamatan dan kesejahteraan perairan dua negara berjiran terjamin.



















.svg.png)

