KUALA KURAU, 24 APRIL – Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 50 unit bubu naga di dalam perairan Kerian, pagi tadi.
Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, kesemua bubu naga tersebut dirampas oleh pasukan bot peronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan di perairan Kerian.
Kesemua bubu naga itu dikesan melalui penemuan penanda pelampung dan bendera yang mencurigakan ketika dirapati untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan di pada kedudukan 1.0 batu nautika barat Kuala Gula menemukan sebanyak 50 unit bubu naga.
Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai lebih enam ribu ringgit itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen.
Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.