LUMUT, 6 APRIL – Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B kerana melanggar syarat sah lesen di kedudukan 4.0 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Perak pada jam sekitar 11.30 malam Jumaat lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bot terbabit dikesan ketika sedang leka melakukan aktiviti perikanan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam OP SAYONG / OP TANJUNG / OP PINTAS / OP TIRIS dan OP KHAS PAGAR LAUT di sekitar perairan negeri Perak.
Pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama dua kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 26 hingga 46 tahun.
Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua nelayan itu gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, beroperasi kurang dari lima batu nautika dari daratan dan gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah dan Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen serta menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran.
Kesemua nelayan ditahan, manakala bot, hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Sebarang maklumat, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh melaporkannya ke Pusat Operasi Maritim Negeri Perak (05-6838737) atau MERS 999 untuk maklum balas segera.