PELABUHAN KLANG, 6 Mac – Maritim Negeri Selangor menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B1 pada jam 2.35 petang di perairan Sekinchan atas beberapa kesalahan pada Ahad lalu.
Pengarahnya, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, bot kelas B1 itu dikesan oleh Kapal Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP EHSAN, OP MURNI, OP SAYONG dan OP TIRIS 3.0 di kedudukan kira-kira 10.8 batu nautika barat Sekinchan.
Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru warga Myanmar berusia antara 30 hingga 38 tahun tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah sedang menjalankan aktiviti menangkap ikan menggunakan pukat tunda.
Pemeriksaan lanjut menemukan tiga set peralatan menghisap dadah, tiga paket plastik lutsinar mengandungi hablur kristal berwarna putih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat kasar 3.0 gram, tiga botol ubat batuk dan satu plastik bag hitam mengandungi daun ketum anggaran tiga kilogram.
Turut didapati satu tangki simpanan bahan api yang telah diubah suai berisi anggaran 400 liter minyak diesel di bahagian hadapan dek bot.
Bot, tekong dan kru bersama bahan terlarang dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah disyaki syabu, Akta Racun 1952 dibawah kesalahan memiliki daun ketum dan ubat batuk, Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan warga asing dan memasang alat perhubungan elektronik di atas vessel menangkap ikan tanpa kebenaran bertulis Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia dan Akta
Imigresen 1959/63 kerana tiga kru yang ditahan bekerja tanpa permit yang sah.
Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.