PULAU PINANG, 5 FEBRUARI – Menyedari kehadiran sebuah bot nelayan tempatan (BNT) kelas C dalam keadaan mencurigakan, bot ronda Maritim Negeri Pulau Pinang telah berusaha memberhentikan BNT berkenaan untuk melakukan pemeriksaan rutin.
Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong a/l Si Prom berkata, BNT berkenaan ditahan untuk pemeriksaan di kedudukan 3.95 batu nautika Pulau Kendi sekitar jam 10.00 malam tadi.
Bot ronda yang sedang melaksanakan OP TIRIS 3.0 pada awalnya memaklumkan, bot itu sedang bergerak sewaktu dikesan. Semasa pemeriksaan dijalankan, didapati bot itu dikendalikan seorang tekong warga Myanmar, dibantu oleh empat kru warga Myanmar.
Jelas beliau, kesemua mereka dalam lingkungan umur antara 30 hingga 47 tahun dan empat daripadanya gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah. Manakala seorang kru mengemukakan dokumen pengenalan diri yang telah tamat tempoh.
Tambah beliau, BNT terbabit juga gagal mengemukakan surat kelulusan menggunakan radio komunikasi.
Kesemua kru warga Myanmar disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.





















.svg.png)

