NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
LIMA ORANG DITAHAN KERANA TIDAK MEMILIKI DOKUMEN PENGENALAN DIRI
LAHAD DATU, 7 Disember – Zon Maritim Lahad Datu berjaya menahan sebuah bot pam warna hijau tanpa nombor pendaftaran yang dikendalikan oleh enam orang kru dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 0.5 batu nautika di kawasan Timur Pulau Bohayan, Kunak semalam.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Nik Mohd Rizam bin Nik Mohd Fauzi berkata, bot peronda Maritim Malaysia telah berjaya mengesan sebuah bot pam melalui rondaan rutin lebih kurang pukul 1.45 tengahari.
Hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 iaitu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa.
Komander Maritim Nik Mohd Rizam turut memaklumkan, enam orang kru bot iaitu empat lelaki dan seorang wanita warga Filipina yang berusia antara 17 tahun hingga 20 tahun tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah manakala seorang lagi warganegara Malaysia wanita dilepaskan tanpa sebarang pendakwaan.
Turut dirampas sebuah bot pam tanpa nombor pendaftaran dan sebuah enjin pam.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.