KUALA KURAU, 3 Julai – Sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau di kedudukan 5.9 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar pada sekitar jam 11.50 malam semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot itu ditahan dalam keadaan mencurigakan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia ketika melakukan rondaan rutin di perairan Kerian dan Larut Matang sebelum dirapat untuk pemeriksaan.
Hasil pemeriksaan menemukan, terdapat dua nelayan tempatan termasuk tekong masing-masing berumur 29 dan 57 tahun berada di atas bot.
Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati bot itu tidak memiliki lesen yang sah.
Selain itu, peralatan menangkap ikan jenis pukat rawa sorong turut ditemukan dan disyaki digunakan sebagai peralatan menangkap ikan.
Kesemua nelayan ditahan manakala bot dan alat perikanan dirampas sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu mengendalikan vesel tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11 (b) akta yang sama kerana memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.
Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti nelayan agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan bersama.
Sebarang aduan, insiden dan kecemasan yang berlaku, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.


















.svg.png)

