NELAYAN 63 TAHUN HILANG, BOT DITEMUI TANPA KELIBAT MANGSA DI PANTAI SEPAT
1.5 TAN IKAN DIRAMPAS, BOT ZON C DITAHAN
MIRI, 2 April – Zon Maritim Miri berjaya menahan dua buah bot nelayan tempatan kelas C ketika menjalankan operasi rondaan kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di zon larangan iaitu di kedudukan lebih kurang 1.3 batu nautika barat laut Kuala Suai pada tengahari semalam.
Pengarah Zon Maritim Miri, Kepten Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing berkata, kedua-dua bot tersebut ditahan ketika sedang menunda ikan dan hasil pemeriksaan mendapati setiap bot mempunyai empat orang awak-awak termasuk tekong warganegara Indonesia yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 59 tahun.
Kedua-dua bot tersebut bersama tekong dan awak - awak dengan hasil tangkapan dianggarkan sebanyak 1,500 kilogram dibawa ke Pusat Tahanan Vesel untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan lanjut.
Sebarang aduan serta maklumat berkenaan dengan sebarang salah laku di laut,orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Miri di talian 085418204 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.
MARITIM MALAYSIA KONGSI KEPAKARAN PENGUATKUASAAN LAUT BERSAMA 60 PESERTA OSTEX 2026
KOTA KINABALU, 9 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah berkongsi kepakaran operasi penguatkuasaan di laut bersama 60 peserta Operational Sea Training Exercise (OSTEX) East Siri 1/2026 dalam satu sesi Subject Matter Expert (SME) yang diadakan di atas KD Kedah, Pangkalan TLDM Sepanggar, baru-baru ini.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, perkongsian tersebut memberi fokus kepada pemindahan ilmu praktikal dan kefahaman menyeluruh berkaitan pelaksanaan penguatkuasaan maritim.
“Pendekatan ini membolehkan peserta memahami secara langsung aspek penguatkuasaan di laut termasuk prosedur, risiko dan tindakan yang perlu diambil secara profesional serta mematuhi undang-undang,” katanya.
Menurut beliau lagi, penglibatan pegawai dan anggota berpengalaman sebagai SME memberi nilai tambah kepada latihan apabila peserta didedahkan dengan situasi sebenar operasi di lapangan.
Sesi berkenaan telah dikendalikan oleh Timbalan Pengarah Keselamatan Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Leftenan Maritim Mohd Shahril Samsudin bersama beberapa anggota berpengalaman yang berkongsi aspek perundangan, prosedur operasi standard (SOP) serta teknik penggeledahan vesel.
Antara pengisian utama termasuk pemeriksaan keselamatan sebelum penggeledahan, kaedah mengenal pasti ancaman serta taktik operasi di kawasan berisiko tinggi.
Peserta turut didedahkan dengan pengendalian situasi kecemasan, prosedur pemeriksaan tubuh serta penggunaan kekerasan secara berhemah selaras dengan garis panduan operasi semasa.
Perkongsian ini dilihat memperkukuh tahap pengetahuan dan kemahiran peserta OSTEX, sekali gus meningkatkan kecekapan pelaksanaan operasi di laut secara lebih tersusun, selamat dan berkesan.
Dalam masa sama, inisiatif tersebut turut memperkukuh peranan Maritim Malaysia sebagai agensi penguatkuasaan utama negara dalam memastikan keselamatan serta kedaulatan perairan negara terus terpelihara.