25
Sat, Jul

ANJUNGAN BOT MELETUP, SEORANG KRU MENINGGAL DUNIA, DUA CEDERA

MERSING, 17 Ogos – Seorang kru meninggal dunia manakala dua lagi cedera selain seorang tekong terselamat apabila sebuah bot nelayan tempatan yang dinaiki mereka meletup pada kedudukan empat batu nautika barat laut Pulau Tinggi Mersing, Johor hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkusaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, sejurus menerima laporan kejadian tersebut, sebuah bot ronda Maritim Malaysia, Perkasa 44 yang sedang melakukan rondaan di sekitar perairan Mersing telah diarah untuk ke lokasi kejadian untuk memberikan bantuan.

Setiba di lokasi, anggota Maritim Malaysia mendapati empat orang mangsa terbabit dalam insiden berkenaan. Kesemua mereka merupakan warga tempatan berusia dalam lingkungan 43 hingga 59 tahun.

Menurut tekong bot berkenaan, Mohd Ariffin bin Mohamed 57 tahun, beliau terdengar bunyi letupan kuat disyaki daripada enjin bot disusuli api menyambar dan terus terkena kru beliau yang berada di kawasan anjungan bot tersebut.

Mangsa yang meninggal dunia, Muhmad Arodi bin Sulaiman, 43 tahun. Manakala mangsa cedera ialah Mohd Nazri bin Che Soh, 43 tahun dan Mamat bin Man 59 tahun.

Kesemua mangsa dan mayat telah dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Mersing untuk menerima rawatan lanjut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Punca sebenar kejadian berkenaan masih dalam siasatan pihak polis.

Pihak Maritim Malaysia merakamkan setinggi - tinggi penghargaan kepada jabatan dan agensi yang berkaitan serta komuniti maritim yang terlibat dalam memberikan bantuan awal dengan pantas kepada mangsa terlibat.

 

ANJUNGAN LETUP 2
 
ANJUNGAN LETUP 5

5 PATI DITAHAN, LANGGAR SYARAT LESEN DAN TIDAK MEMILIKI DOKUMEN SAH

LUMUT, 17 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Maritim Negeri Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas C bersama lima nelayan warga asing termasuk tekong dan kru di kedudukan 10.6 batu nautika barat Pulau Rumbia, Perak pada sekitar jam 12.50 tengah hari, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti perikanan oleh pasukan operasi KM TUGAU ketika melakukan rondaan rutin menerusi OP SAYONG / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak.

Bot yang mencurigakan itu kemudian dirapati untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat orang kru warga Myanmar berumur dalam lingkungan 15 hingga 43 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, tekong gagal mengemukakan dokuman pengenalan diri dan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang diperakui.

Kesemua nelayan ditahan, bot dan hasil tangkapan berserta peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Kampung Acheh dan diserah kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia menegaskan kepada komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan bagi mengelakkan tindakan diambil.

Sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Maritim Malaysia di talian Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

LUMUT
 
LUMUT 3

KEBAKARAN MV KMTC SHENZHEN BERJAYA DIKAWAL

PELABUHAN KLANG, 15 Ogos – Insiden kebakaran melibatkan 24 buah kontena di atas kapal MV KMTC SHENZEN yang berlaku pada 12 Ogos lalu telah berjaya dikawal sepenuhnya, hari ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Shahrenliza bin Ghazali berkata, operasi pemadaman api yang dilakukan bersama Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Pelabuhan Klang telah berjaya mengawal sepenuhnya kebakaran tersebut.

Beliau berkata demikian pada sidang media berkaitan insiden kebakaran kontena di atas Kapal MV KMTC SHENZHEN di Perairan Pelabuhan Klang di sini hari ini.

Sementara itu pada sidang media yang sama, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBSM) Negeri Selangor Nor Ariffin bin Kamari berkata, dalam usaha memadamkan kebakaran berkenaan pihak bomba berhadapan cabaran kerana perlu berhati-hati dengan bahan kimia yang terdapat di atas kapal tersebut seperti Organic Perixide, Propyl Acetate dan Alkysulphonic Acid.

Beliau turut memaklumkan pemantauan daripada pihak JBPM masih dilakukan bagi memastikan tiada lagi kebakaran di atas kapal berkenaan.

 

PC SHENZHEN 3
 
PC SHENZHEN
 
PC SHENZHEN 6
 
PC SHENZHEN 7

VESEL KARGO DITAHAN GAGAL PAMER DOKUMEN KETIKA DIPERIKSA

KUCHING, 16 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Sarawak telah menahan vesel kargo pada jarak lebih kurang 1.9 batu nautika Timur Laut Tanjung Muara Tebas kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 iaitu gagal mengemukakan Domestic Shipping License (DSL) yang sah semasa diperiksa, Isnin lalu.

Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus berkata, selain kesalahan gagal mengemukakan DSL, vesel terbabit turut disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan yang sama kerana gagal mempamerkan dokumen pertukaran nakhoda kapal di dalam Certificate of Malaysia Registery ketika diperiksa.

Hasil pemeriksaan dan penggeledahan lanjut mendapati, vesel kargo berkenaan dikendalikan oleh 14 kru termasuk nakhoda (Master) terdiri daripada seorang warga tempatan, tiga warga India, dan 10 warga Indonesia yang kesemuanya berumur lingkungan 21 tahun hingga 68 tahun. Kesemua mereka memiliki dokumen pengenalan diri ketika diperiksa.

Vesel dan kru telah diringi ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS), Muara Tebas untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.

Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan, jenayah maritim atau kecemasan di laut terus ke talian Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544/ 432016 yang beroperasi 24 jam.

 

KAPAL KARGO 2
 
KAPAL KARGO 4
 
KAPAL KARGO 3

BOT TUNDA DAN TIGA WARGA ASING DITAHAN

MIRI, 15 Ogos – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Miri telah menahan sebuah bot tunda bersama seorang warga Indonesia dan dua warga India di kedudukan 3.6 batu nautika Barat Laut Kuala Miri kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952/60 iaitu lesen tamat tempoh dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah semasa diperiksa, semalam.

Pengarah Zon Maritim Miri Kepten Maritim Mohd Shafie bin Haji Paing berkata, kesemua warga asing itu ditahan semasa pasukan bot ronda Maritim Malaysia sedang melakukan rondaan rutin di perairan Miri, Sarawak.

Kesemua warga asing ditahan dan bot tunda itu diiring ke Jeti Hung Hung Sungai Miri untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia akan terus komited dalam menguatkuasakan undang – undang dan tidak akan berkompromi ke atas pesalah yang ingkar.

Sebarang aduan dan kecemasan di laut secara terus melalui talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Miri di talian 085-418204 dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082-432544/ 082-432016 yang beroperasi 24 jam.

 

BOT TUNDA
 
BOT TUNDA 3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON