25
Sat, Jul

BERLABUH TANPA KEBENARAN SEBUAH KAPAL KARGO DITAHAN

PULAU PINANG, 10 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang telah menahan sebuah kapal kargo MV WISDOM GRACE di kedudukan 17 batu nautika barat Muka Head Pulau Pinang pada jam 4.50 petang semalam.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Komander Maritim Nak Rong A/L Si Prom berkata, pusat operasi Maritim Negeri Pulau Pinang telah menerima maklumat daripada Jabatan Laut Pulau Pinang berkenaan kapal tersebut tidak mempunyai kebenaran untuk bersauh di posisi berkenaan.

Pemangku Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang serta merta mengarahkan KM Sikuati di dalam perintah operasi untuk melakukan rutin pemeriksaan dan penggeledahan ke atas kapal kargo berkenaan.

KM SIKUATI seterusnya berusaha merapat bersama kapal kargo berkenaan dan mendapati 19 kru termasuk kepten kapal warga China berada di atas kapal kontena tersebut.

Kesemua mereka berusia dalam lingkungan 27 hingga 54 tahun.

Hasil pemeriksaan mendapati kapal yang didaftarkan di Panama itu disyaki melakukan kesalahan berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

MV WISDOM GRACE bersama kru kemudian ditahan bagi membantu siasatan kerana disyaki melakukan kesalahan dibawah akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 iaitu berlabuh tanpa kebenaran Ketua Pengarah Jabatan Laut Malaysia.

Maritim Negeri Pulau Pinang menghargai segala bentuk aduan oleh agensi kerajaan serta komuniti nelayan di atas maklumat yang disalurkan bagi menguatkuasakan undang-undang di perairan Malaysia.

 

KAPAL DAGANG   KAPAL DAGANG 2   KAPAL DAGANG 6   KAPAL DAGANG 5

BOT NELAYAN TEMPATAN DITAHAN, LANGGAR SYARAT LESEN DAN GAJIKAN KRU ASING

PELABUHAN KLANG, 10 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Selangor telah menahan dua warga asing kerana bekerja di atas bot fiber tanpa nombor pendaftaran di sekitar perairan muara Kuala Selangor, sekitar jam 9.20 pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Komander Maritim Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, bot berkenaan dikesan oleh KM BAGAN DATUK pada kedudukan 1.2 batu nautika Barat Daya Kuala Selangor semasa melaksanakan OP EHSAN, OP MURNI dan OP TIRIS.

Ketika penahanan, bot berkenaan cuba meloloskan diri sewaktu didekati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan oleh seorang tekong warga tempatan dan dua kru warga Myanmar berusia antara 37 hingga 44 tahun.

Pemeriksaan lanjut ke atas dokumen mendapati, kesemua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah, manakala pemilik bot didapati menggajikan pekerja asing tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua nelayan dan bot dibawa ke jeti Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia dan Akta Imigresen 1959/63 kerana bekerja tanpa permit yang sah.

Dalam perkembangan lain, bot BENTENG 02 yang dalam pelaksanaan OP EHSAN dan OP TIRIS telah menerima maklumat pengesanan daripada ACC Klang mengenai satu kontek curiga dari perairan TSS Tanjung Sepat disyaki menuju ke perairan Tanjung Layang.

Kontek curiga itu berjaya dipintas walaupun cuba meloloskan diri di kedudukan 0.6 batu nautika Barat Daya Pulau Tengah.

Bot ditahan, namun tekong bot telah meloloskan diri dengan terjun ke laut dan berenang ke kawasan paya bakau berhampiran.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot itu disyaki telah melanggar kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Bot dan semua peralatan dibawa ke Maritim Negeri Selangor sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat maritim.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap pelanggaran undang-undang di Zon Maritim Malaysia dan akan terus membuat rondaan serta pemantauan di perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2023 10 10 at 11.53.04 AM 2
 
WhatsApp Image 2023 10 10 at 11.53.04 AM 4
 
WhatsApp Image 2023 10 10 at 11.53.04 AM
 
WhatsApp Image 2023 10 10 at 11.53.04 AM 3

OP MARDOF | 16 PATI DAN 16 PUKAT TUNDA DITAHAN DAN DIRAMPAS

LUMUT, 6 Oktober – Sebanyak 16 tangkapan warga Myanmar dan Indonesia berumur lingkungan 12 hingga 49 tahun serta 16 keroncong mata pukat tunda dengan nilai anggaran RM48 ribu telah dirampas sempena OP MARDOF Negeri Perak pada 30 September sehingga 5 Oktober lalu.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, operasi bersepadu ini dilaksanakan antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Perak dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Perak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) Lumut.

Beliau juga berkata, sebanyak 59 pemeriksaan telah dijalankan di darat dan di laut serta turut berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan (BNT) di kawasan sektor operasi perairan negeri Perak dengan nilai keseluruhan tangkapan di darat dan di laut berjumlah RM1.6 juta.

Kesemua kes disiasat dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

Selain operasi di laut dan pemeriksaan di jeti, OP MARDOF Negeri Perak kali ini telah ditambah baik dengan pelaksanaan sesi taklimat operasi dan Akta Perikanan 1985 kepada anggota Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) serta sesi engagement iaitu Kempen Kesedaran Keselamatan di Laut (Preventive SAR) kepada komuniti maritim.

OP MARDOF Negeri Perak dilihat sebagai salah satu inisiatif kerjasama strategik antara Maritim Malaysia bersama Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam memperkasakan kemahiran teknikal penguatkuasaan, perkongsian maklumat dan kepakaran pengendalian siasatan terutamanya berkaitan kesalahan-kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

Kerjasama ini merupakan inisiatif kedua-dua agensi dalam membangunkan keupayaan sumber manusia sejajar dengan tuntutan semasa terutamanya dalam menangani isu-isu melibatkan Akta Perikanan 1985 bagi membanteras aktiviti kesalahan bot tunda Zon A yang sedang berleluasa di perairan negeri Perak.

Secara keseluruhannya, OP MARDOF Negeri Perak telah berjaya dilaksanakan sepenuhnya hasil kerjasama erat dengan agensi berkaitan dalam usaha mencapai misi dan objektif yang sama serta best practice applicable demi kelangsungan sekuriti sumber hasil laut dan kesejahteraan perairan negara.

Berdasarkan kepada kejayaan daripada operasi kali ini, Maritim Malaysia dan DOF komited untuk terus melaksanakan operasi seumpama ini bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara dan keselamatan dalam sektor perikanan sentiasa terpelihara.

Kedua-dua agensi turut menggesa kepada pihak yang terlibat dalam industri perikanan untuk mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan demi kebaikan bersama dan masa depan industri perikanan Malaysia.

Sekiranya terdapat sebarang laporan, aduan dan insiden kecemasan di laut, orang ramai boleh terus menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

OP MARDOF 23   OP MARDOF 23 3   OP MARDOF 23 3   OP MARDOF 23 4

OP BERSEPADU | MARITIM MALAYSIA & AADK : 25 DITAHAN POSITIF DADAH

KUALA KEDAH, 4 Oktober – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar dan Pokok Sena telah melaksanakan OP BERSEPADU dalam usaha membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sekitar perairan Kuala Kedah pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini melibatkan 39 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi telah melakukan serbuan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan secara rawak ke atas bot nelayan tempatan yang berada di sekitar perairan berkenaan.

Noor Azreyanti turut berkata, hasil operasi yang dijalankan, seramai 25 orang warga tempatan telah ditahan kerana positif dadah jenis Methaphetamine setelah menjalani saringan air kencing.

Tambahnya, kesemua yang ditahan adalah lelaki berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun di mana tujuh ketika berada atas bot manakala 18 lagi di jeti sebelum diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

Noor Azreyanti turut menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Beliau turut menyeru kepada masyarakat setempat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat atau aduan terhadap sebarang aktiviti jenayah serta kecemasan di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

 

DADAH KEDAH   DADAH KEDAH 2   DADAH KEDAH 5   DADAH KEDAH 7

MARITIM MALAYSIA LAHIRKAN 15 PENYELAM PENYELAMAT

GEBENG, 5 Oktober – Seramai 15 orang terdiri tiga pegawai dan 12 anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) telah berjaya menamatkan Kursus Penyelam Penyelamat Siri 1/2023 bertempat di Akademi Sultan Ahmad Shah (AMSAS) di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim, Laksamana Muda Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid berkata, kursus yang julung kali diadakan ini telah berjaya menarik penyertaan hampir 50 orang peserta dalam kalangan pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

Kesemua peserta kursus terlebih dahulu perlu melalui beberapa siri tapisan oleh Markas Pasukan Tindakan Khas (PTK) serta saringan kesihatan di Institut Perubatan Bawah Air (IPBAH) Hospital Angkatan Tentera di Kota Kinabalu dan Lumut. Hasil keputusan saringan berkenaan, seramai 22 pelatih telah disahkan sihat tubuh badan dan layak untuk diuji.

Jelas Aminuddin lagi, setelah melalui fasa seminggu latihan penyesuaian, seramai 16 peserta berjaya melayakkan diri ke peringkat seterusnya iaitu kursus Penyelam Penyelamat yang terbahagi kepada tiga fasa iaitu ujian kolam, praktikal pelabuhan di jeti Zon Maritim Kemaman dan praktikal laut menggunakan KM Pekan sebagai platform.

Pelatih juga perlu melepasi ujian diving ability test, praktikal confined space rescue dan deep dive. Walau bagaimanapun seorang peserta terkandas pada ujian kolam menjadikan peserta kursus berkenaan hanya seramai 15 orang.

Terdahulu Aminuddin turut berkata, keunikan kursus ini apabila silibus kursus turut mengaplikasikan teknik Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di dalam kebuk ruangan sempit yang dikongsi oleh penyelam Japan Coast Guard (JCG). Silibus ini digunapakai hasil kerjasama Maritim Malaysia dengan Japan International Cooperation Agency (JICA) sejak tahun 2014 dan Malaysia telah menjadi satu-satunya negara di Asia selepas Jepun yang mempunyai kepakaran ini.

Sempena majlis penutup kursus ini, Aminuddin turut menyampaikan Anugerah Penuntut Keseluruhan Terbaik kepada Laskar Kelas II Maritim Erwan bin Kornelis @ Amran. Manakala Anugerah Penuntut Akademik Terbaik disandang oleh Leftenan Madya Maritim Muhammad Aizuddin bin Zawawi.

Setelah tamat tempoh kursus ini, kesemua mereka bakal diletakkan di bawah Skuadron Selam Maritim Malaysia kendalian STAR Team dan akan ditempatkan di enam lokasi berbeza iaitu Perak, Johor, Sabah, Sarawak, AMSAS dan STAR Team Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

Selain Komander Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team), Komander Maritim Syuzefril bin Mat Noor yang mengiringi Laksamana Muda Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid, turut hadir ialah Pengarah AMSAS, Laksamana Pertama Maritim Vincent a/l Rajamony, Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Kamal Ariffin bin Jusoh serta Pengarah-Pengarah Bahagian dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

 

PENYELAM APMM 2   PENYELAM APMM 3 PENYELAM APMM 4    PENYELAM APMM 5 

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON