25
Sat, Jul

OP PLUTO TIMUR | SEBUAH BOT NELAYAN KELAS A GAGAL MAKLUMKAN PERTUKARAN NAKHODA DITAHAN

KUDAT, 19 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan sebuah bot nelayan tempatan di lokasi 0.5 batu nautika timur Muara Marina Kudat jam 11.30 pagi pada Rabu.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Maurice Grenville Abeyeratne berkata, bot nelayan tempatan kelas A yang lebih dikenali sebagai bot lampu itu dikesan oleh pasukan operasi semasa rondaan rutin dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat dua nelayan termasuk tekong warga Filipina masing-masing berumur 35 dan 46 tahun berada di atas bot ketika penahanan dibuat.

Hasil pemeriksaan terhadap dokumen mendapati, walaupun mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah namun nama nakhoda tidak sama seperti yang tertulis dalam lesen dan pemilik bot gagal memaklumkan kepada Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah mengenai pertukaran nakhoda.

Kru, tekong serta bot ditahan dan dibawa ke Jeti Pelabuhan Kudat sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Enakmen Perlabuhan Dan Dermaga Sabah 2002 kerana disyaki gagal memaklumkan pertukaran Nakhoda dan gagal mengemukakan dokumen berkaitan kepada penguat kuasa ketika diminta.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang di laut demi keselamatan dan kesejahteraan perairan negara.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kudat di talian 088-611858, Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088 – 387774 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

OP PLUTO TIMUR NAKHODA 2

OP SEJAHTERA | DUA BOT PENUMPANG DITAHAN MARITIM MALAYSIA

KOTA KINABALU, 18 Julai – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah menahan dua bot penumpang di sekitar perairan Pulau Manukan pagi tadi.

Menurut Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik, kedua-dua bot penumpang itu telah ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia semasa rondaan rutin OP SEJAHTERA kerana melakukan kesalahan di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 iaitu gagal melaporkan pertukaran juragan.

Kedua-dua bot penumpang tersebut telah dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Maritim Malaysia mengingatkan semua pengusaha bot penumpang mahupun rekreasi untuk sentiasa mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak penguat kuasa selain patuh kepada arahan Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) berkenaan perubahan cuaca yang berlaku.

Terdahulu, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kota Kinabalu telah merekodkan dua kejadian CARILAMAT dalam tempoh perubahan cuaca yang berlaku di negeri Sabah pada 13 - 17 Julai 2023.

Kejadian CARILAMAT yang menyebabkan kematian ini masing-masing berlaku di perairan Semporna dan Tawau.

 

OP SEJAHTERA SABAH

TUNDA IKAN DI ZON LARANGAN, BOT NELAYAN DITAHAN

LANGKAWI, 18 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan kira-kira 1.2 batu nautika timur laut Pulau Tanjung Dendang di sekitar jam 10.30 malam tadi.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi OP AMAN dan OP TIRIS di perairan Langkawi.

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan lima kru kesemuanya warga tempatan lingkungan umur antara 27 hingga 40 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 1.5 tan telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 15 batu nautika dari pantai.

Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak lima batu nautika daripada pantai.

Aktiviti menangkap hasil laut kurang 15 batu nautika daripada pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

 

TUNDA IKAN EDITED 2
 
 TUNDA IKAN EDITED 3

OP JAKSA/OP TIRIS | DUA WARGA VIETNAM BERSAMA BOT FIBER TANPA NOMBOR PENDAFTARAN DITAHAN

MERSING, 18 Julai – Zon Maritim Mersing menahan sebuah bot fiber di kedudukan 0.23 batu nautika barat laut Pulau Tengah pada jam 6.30 petang semalam.

Pengarah Zon Maritim, Komander Maritim Suhaizan Bin Saadin berkata, pasukan bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan dan menahan bot fiber tanpa nombor pendaftaran itu semasa rondaan rutin OP JAKSA dan OP TIRIS di perairan tersebut.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber itu dikendalikan oleh dua kru termasuk tekong warga Vietnam masing-masing berumur 35 dan 36 tahun di mana kedua-duanya tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, terdapat peralatan menyelam di atas bot disyaki digunakan untuk aktiviti penangkapan gamat.

Kru bersama tekong serta bot dan peralatan menyelam ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana memiliki peralatan perikanan yang tidak dilesenkan, Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana bot beroperasi tanpa lesen yang sah.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi dan tindakan tegas bakal diambil ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang melanggar undang-undang di Zon Maritim Malaysia.

Sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh segera menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

.

OP JAKSA MERSING 2

BOT KELAS B DITAHAN, GAJIKAN NELAYAN ASING SECARA HARAM

KUALA KURAU, 16 Julai – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas B jenis pukat tunda bersama tiga nelayan termasuk tekong warga Myanmar di kedudukan 16.6 batu nautika barat Pulau Terong, Perak pada sekitar jam 12.15 tengahari semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, bot nelayan itu dikesan oleh pasukan operasi Maritim Malaysia dalam rondaan rutin di kawasan terbabit ketika sedang melakukan aktiviti perikanan dan dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat tiga nelayan warga Myanmar termasuk tekong berumur di antara 30 hingga 36 tahun berada di atas bot ketika penahanan dibuat.

Hasil pemeriksaan terhadap dokumen mereka, dua daripadanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah manakala bot yang digunakan walaupun memiliki lesen namun tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya.

Selain itu, tekong pula gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggajikan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Kesemua nelayan ditahan bersama bot dan peralatan menangkap ikan dirampas sebelum dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan selanjutnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu bot tidak diusahakan sendiri oleh pemiliknya dan menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran serta Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di Malaysia tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Maritim Malaysia mengingatkan kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang ditetapkan demi keselamatan perairan negara dan mengelakkan tindakan diambil.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

KUALA KURAU PATI

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON