25
Sat, Jul

TERUS KEKAL KESIAPSIAGAAN MARITIM NEGERI KELANTAN DAN POS MARITIM PENGKALAN KUBOR

PASIR PUTEH, 25 Oktober – Maritim Negeri Kelantan dan Pos Maritim Pengkalan Kubor diminta untuk terus mengekalkan kesiapsiagaan dalam menjaga perairan Negeri Kelantan.

Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin bersempena Program Tinjauan Kesiagaan Operasi beliau di Pantai Timur semalam.

Beliau memulakan tinjauan di sekitar kawasan operasi maritim di Pengkalan Kubor dengan menggunakan bot maritim PERKASA 1232 diiringi oleh PERKASA 1233 yang turut disertai oleh aset dan anggota dari agensi sahabat iaitu Pasukan Polis Marin (PDRM) dan Kastam Diraja Malaysia (KDRM).

Kunjungan beliau ke Pos Maritim Pengkalan Kubor juga disambut oleh wakil dari Royal Thai Police dan Thai Customs, agensi sahabat dari negara jiran yang turut memberikan sokongan dengan menyertai tinjauan di sekitar kawasan operasi tersebut.

Kunjungan ini juga antara lainya memberikan kesempatan untuk beliau berinteraksi secara langsung dengan kesemua anggota maritim di Kelantan selain dapat mendengar permasalahan yang dihadapi oleh anggota dalam melaksanakan tugas.

Pada sesi ucapan amanat yang telah disampaikan pada sesi perjumpaan berkenaan, beliau menegaskan kepentingan cara kerja yang sistematik dan menyeluruh serta hubungan baik diantara agensi dan pihak penguatkuasa lain yang berkaitan sama ada agensi dalam negara mahupun luar negara dalam memastikan fungsi Maritim Malaysia dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Menerusi kunjungan tersebut, beliau turut melawat Jeti Maritim Negeri Kelantan dan KM JUJUR di Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan.

Beliau juga mengucapkan penghargaan kepada seluruh warga Maritim Negeri Kelantan dan Pos Maritim Pengkalan Kubor diatas kejayaan operasi sepanjang tahun lalu sehingga kini.

Turut sama hadir pada sesi lawatan berkenaan, Pengarah Bahagian Perisikan Maritim Malaysia, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi bin Abdullah, Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli bin Syed Ab Rahman, Timbalan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim Malaysia, Kepten Maritim Muhammad Suffi bin Mohd Ramli serta beberapa pegawai kanan dari Ibu Pejabat Maritim Malaysia.

 

TKPO 2   TKPO 4   TKPO 11   TKPO 12

MARITIM MALAYSIA MENAHAN DUA VLCC KERANA LAKUKAN STS TANPA KEBENARAN

KOTA TINGGI, 24 Oktober – Maritim Negeri JohorMalaysia telah menahan dua buah kapal jenis Very Large Crude Carrier (VLCC) yang sedang melakukan aktiviti pemindahan minyak tanpa kebenaran di perairan Johor Timur secara 'Force boarding' dengan menggunakan pesawat udara AS 365 N3 Dauphin milik Maritim Malaysia bersama tiga orang Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria berkata, dua kapal terbabit telah dikesan bot ronda Maritim Malaysia disyaki melakukan aktiviti 'ship to ship' (STS) di kedudukan 32.1 batu nautika timur Tanjung Sedili pada jam 12.35 tengah hari.

Kedua-dua buah kapal VLCC tersebut telah menolak dan enggan memberikan kerjasama bagi diperiksa oleh bot ronda Maritim Malaysia hingga memaksa pihak Maritim Negeri Johor meminta bantuan dari Bahagian Operasi Udara dan PTK bagi melakukan force boarding.

Kedua-dua kapal terlibat yang didaftarkan dari Panama dan Honduras itu berjaya ditahan pada pukul 6.00 petang.

Kapal tangki pertama yang berdaftar dari Panama dikendalikan oleh 26 orang kru berumur diantara 23 tahun hingga 54 tahun, manakala kapal tangki kedua yang berdaftar dari Honduras dikendalikan oleh 26 orang kru berumur diantara 21 tahun hingga 51 tahun.

Nakhoda kapal terlibat telah gagal mengemukakan sebarang dokumen kebenaran atas aktiviti yang dijalankan.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 491B(1)(K) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 bagi kesalahan melakukan aktiviti kapal ke kapal (STS) tanpa kebenaran dan Seksyen 491B(1)(L) Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana bersauh tanpa kebenaran. Sekiranya didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Nakhoda kedua-dua kapal terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10 ribu atau kedua-duanya sekali sekiranya bersalah.

 

JOHOR

TIGA BOT NELAYAN VIETNAM ROMPAK HASIL PERIKANAN NEGARA DITAHAN

MERSING, 13 Oktober – Tiga buah bot nelayan asing (BNA) Vietnam bersama 37 kru telah ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Mersing di kedudukan lebih kurang 15.1 batu nautika timur laut Pulau Aur kerana disyaki menceroboh dan merompak hasil laut lebih kurang jam 7.30 petang Rabu lalu.

Pengarah Maritim Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan bin Saadin berkata, tangkapan bot nelayan asing berkenaan dilakukan oleh bot ronda Maritim Malaysia dalam rondaan penguatkuasaan OP JAKSA dan OP TIRIS di sekitar perairan Mersing.

Tiga buah bot nelayan asing tersebut ditahan ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap hasil laut.

Pemeriksaan ke atas ketiga-tiga buah bot nelayan asing itu menggunakan nombor pendaftaran asing dari negara Vietnam dan dikendalikan oleh 37 kru termasuk tekong kesemuanya lelaki warga Vietnam berumur di antara 18 hingga 66 tahun tanpa dokumen pengenalan diri yang sah.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua bot tidak mempunyai sebarang dokumen bertulis kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan Malaysia.

Kesemua 37 kru telah ditahan beserta ketiga-tiga buah bot, peralatan menangkap ikan, hasil tangkapan lebih kurang 13 ribu kilogram serta lebih kurang 4 ribu liter bekalan diesel dirampas dan dibawa ke jeti Maritim Pos Teluk Gading untuk disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran dari Pengarah Perikanan Malaysia serta Akta Imigresen 1959/1963 kerana gagal mempamerkan dokumen pengenalan diri yang sah.

Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2.5 juta.

 

VIETNAM ROMPAK   VIETNAM ROMPAK 2   VIETNAM ROMPAK 4   VIETNAM ROMPAK 6  

MARITIM NEGERI SELANGOR | CUBA LOLOSKAN DIRI, 14 PATI DITAHAN BERSAMA 8 BUNGKUSAN DADAH

PELABUHAN KLANG, 13 Oktober – Maritim Negeri Selangor berjaya menahan 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) pada kedudukan sekitar 0.91 batu nautika barat daya Pantai Kelanang, Selangor kerana cuba menyeludup keluar secara haram dari Malaysia awal pagi semalam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Selangor, Mohd Sharenliza bin Ghazali berkata, berdasarkan maklumat risikan yang diterima dan panduan dari Area Control Centre (ACC) SWASLA Klang, satu vesel dalam keadaan mencurigakan telah dikesan di Perairan Tanjung Tongkah.

Maritim Malaysia Negeri Selangor telah mengatur gerak sebuah bot ronda bagi memintas vesel tersebut.

Menyedari kehadiran pihak berkuasa, bot terbabit cuba meloloskan diri dan berlaku adegan kejar mengejar hampir 20 minit.

Dalam adegan itu terdapat beberapa orang telah bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke hutan bakau Pantai Kelanang sebelum bot berjaya ditahan pada jam 11.10 malam.

Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot fiber bewarna biru hitam tanpa nombor pendaftaran itu terdapat 9 penumpang perempuan Indonesia, tiga lelaki Pakistan dan dua lelaki Indonesia dalam lingkungan umur 27 hingga 50 tahun tanpa memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Bot dan kesemua PATI dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Hasil pemeriksaan lanjut di Jeti PPM, menemukan dua beg di dalam bot yang tidak diambil oleh PATI di mana beg itu mengandungi lapan bungkusan mampat serbuk kristal bewarna putih disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat lebih kurang 9 kilogram.

Bungkusan itu diserahkan kepada pengawai penyisat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Menurut salah seorang PATI, bayaran yang dikenakan untuk satu perjalanan menyeludup keluar dengan cara ini dianggarkan sebanyak RM1,700 sekepala dan mereka dikatakan hendak menuju ke Medan dan Dumai, Indonesia.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan, Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana membawa masuk atau keluar PATI dan Akta Dadah Berbahaya 1952.

Maritim Malaysia akan terus meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membenteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan di perairan negara.

Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah dan insiden yang berlaku di laut ke Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

MAJLIS PENUTUP SAREX LEVEL 3 MMRO NEGERI SARAWAK

BINTULU, 13 Oktober – Majlis Penutupan Search and Rescue Exercise Level 3, Maritime Mass Rescue Operation (SAREX MMRO) telah disempunakan oleh Pengarah Maritim Negeri Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman bin Md Yunus bertempat di Auditorium, Ibu Pejabat Lembaga Pelabuhan Bintulu, Menara Kidurong, Bintulu semalam.

Majlis dimulakan dengan sesi 'Post Mortem' mengenai penambahbaikan setiap agensi dalam Operasi CARILAMAT untuk diadaptasi pada masa akan datang.

Seramai lebih kurang 250 peserta melibatkan 37 agensi dan jabatan berkaitan termasuk urus setia SAREX Level 3 MMRO hadir dalan majlis ini.

Dalam ucapan penutup yang disampaikan oleh penganjur bersama iaitu Pengarah Maritim Negeri Sarawak, MKN Sarawak dan Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Bintulu berkata, SAREX LEVEL 3 MMRO yang julung kalinya diadakan ini telah mencapai tujuan seperti yang dihasratkan dengan kerjasama padu semua pihak.

Dalam majlis ini, turut diadakan sesi penyampaian cenderahati, sijil penghargaan dan sijil penyertaan kepada semua pihak yang terlibat.

Turut hadir sama Pengarah MKN Negeri Sarawak, Encik Mohammad Haffizie bin Putit dan Pengurus Besar Operasi Lembaga Pelabuhan Bintulu, Encik Mizool Amir bin Mat Drus serta wakil semua agensi sahabat yang terlibat.

Diharapkan eksesais sebegini bakal diadakan lagi di masa akan datang demi meningkatkan kerjasama semua pihak dan kesiapsiagaan Maritim Malaysia sentiasa berada di tahap tertinggi sebagai entiti peneraju CARILAMAT di negara ini.

 

SAREX PENUTUP   SAREX PENUTUP 2   SAREX PENUTUP 3   SAREX PENUTUP 6

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON