27
Mon, Apr

RAMPASAN 30 SET BUBU NAGA DI PERAIRAN PERAK

LUMUT, 28 Januari – Maritim Negeri Perak telah merampas sebanyak 30 set bubu naga atau bubu kambang (China Prawn Net Trap) di kedudukan sekitar 2.2 batu nautika barat daya Pulau Talang, Perak kira-kira pukul 2.35 petang Jumaat baru-baru ini.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohd Hambali bin Ya’akup berkata, bubu yang berukuran 10 meter panjang ini dikesan oleh pasukan bot ronda Maritim Malaysia yang sedang melaksanakan OP SAYONG / OP PINTAS / OP TANJUNG dan OP TIRIS di perairan Perak ketika menyusuri kawasan terbabit dan melihat pancang kayu yang dipasang bendera diikat bersama pelampung mencurigakan di permukaan air disyaki bubu naga.

Hasil tinjauan mendapati, pancang kayu berkenaan adalah penanda bagi lokasi bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM2 ribu itu dirampas dan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan. Jika seseorang individu tersebut ditahan, beliau boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya jika disabit kesalahan.

Modus operandi bubu naga dipasang beroperasi pada kali ini adalah dengan diikat secara berangkai dan diletakkan pemberat pada kayu tersebut.

Penggunaan bubu naga diharamkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia mulai 1 November 2018 kerana sifatnya yang selektif dan boleh merosakkan ekosistem perairan serta menjejaskan sumber pendapatan nelayan pantai atau tradisional yang menggunakan cara penangkapan biasa seperti menggunakan pukat hanyut.

Tahap kesedaran yang rendah dalam komuniti nelayan serta keinginan mengaut untung yang cepat dan mudah antara punca penggunaan bubu naga masih berleluasa.

Walaupun telah banyak rampasan bubu naga dilakukan sebelum ini namun aktiviti ini dilihat terus aktif dilakukan termasuk penangkapan ikan di luar kawasan yang dibenarkan.

BUBU NAGA LUMUT
 
BUBU NAGA LUMUT 2

21 DITAHAN DALAM OPERASI BERSEPADU DI JETI PULAU DUYONG

KUALA TERENGGANU, 27 Januari  – Seramai 21 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di dalam Operasi Bersepadu Maritim Malaysia Negeri Terengganu bersama Jabatan Imigresen (JIM) Negeri Terengganu dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Terengganu di Jeti Pulau Duyong sekitar pukul 12.00 tengah malam semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Majid berkata, 21 yang ditahan semasa operasi tersebut adalah merupakan kru bot nelayan tempatan.

Jelas beliau, semasa melakukan pemeriksaan, terdapat individu yang gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri, tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan, tinggal di Malaysia tanpa permit, melanggar syarat permit yang dikeluarkan serta positif dadah selepas menjalani ujian urin.

Beliau menambah, dua warga tempatan dan 19 warganegara Thailand antara 13 yang ditahan dalam pemeriksaan tersebut dan kesemua mereka berusia dalam lingkungan 32 hingga 52 tahun.

Lapan daripada suspek telah dibawa ke Jabatan Imigresen Terengganu kerana tiada pengenalan diri manakala 13 individu telah dibawa ke Maritim Negeri Terengganu untuk lain-lain kesalahan.

Kes akan disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Imigresen 1959/1963.

Khairulanuar turut berkata, operasi bersepadu seumpama ini akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa bagi mencegah sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang.

Justeru tegas beliau, kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim amat diperlukan bagi melaporkan sebarang maklumat dan salah laku yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Terengganu di talian 09-6223657.

 

OP BERSEPADU 3
 
OP BERSEPADU 2

MAJLIS SERAHAN SURAT PEROLEHAN 4 HELIKOPTER MARITIM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 23 Januari – Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima bagi Perolehan Empat Buah Helikopter Medium Lift Maritim Malaysia telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Haji Ruji bin Haji Ubi di Bilik Mesyuarat Pertiwi, Setia Perkasa 1, KDN di sini, pada Selasa (23 Januari 2024).

Perolehan ini telah dilaksanakan oleh Bahagian Perolehan KDN pada tahun 2022.

Kontrak ini telah dianugerahkan kepada Syarikat Galaxy Aerospace (M) Sdn Bhd yang berjaya melaksanakan perolehan empat buah helikopter jenis AW 189 dikelengkapkan dengan peralatan misi untuk menyokong operasi Maritim Malaysia.

Majlis turut dihadiri Setiausaha Bahagian Perolehan KDN, Tuan Haji Khairuddin bin Bakar, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid bin Haji Mohd Amin dan wakil syarikat.

 

(Sumber : Unit Komunikasi Kementerian Dalam Negeri)

 

HELIKOPTER APMM 10   HELIKOPTER APMM 8   HELIKOPTER APMM 4   HELIKOPTER APMM 3

 

WARGA ASING BEKERJA DI ATAS BOT NELAYAN TANPA DOKUMEN DITAHAN MARITIM SELANGOR

PELABUHAN KLANG, 25 Januari  – Sebuah bot nelayan tempatan Kelas B1 telah ditahan oleh Maritim Negeri Selangor atas pelbagai kesalahan pada pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, tangkapan itu dilakukan pada sekitar jam 8.15 pagi oleh KM DANGA ketika dalam rutin rondaan operadi di perairan Selangor pada kedudukan 6.4 batu nautika dari daratan Sekinchan.

Ketika rondaan, KM DANGA telah mengesan bot berkenaan sedang melakukan aktiviti perikanan di bawah lapan batu nautika dari pantai, setelah dirapati untuk pemeriksaan. Pasukan menggeledah mendapati bot itu dikendalikan oleh tekong dan tiga kru warga Myanmar dalam lingkungan umur 34 hingga 59 tahun.

Hasil pemeriksaan dokumen mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan.

Kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan seberat 200 kilogram sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan pemilik tidak mengusahakan sendiri bot dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran.

Kes disiasat dibawah Akta Imigresen 1959/63 kerana kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.

Sebarang aduan, maklumat dan insiden kecemasan serta aktiviti jenayah di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke talian MERS 999 atau pusat operasi Maritim Malaysia untuk tindakan segera.

KLANG WARGA ASING 2

 

 

MARITIM MALAYSIA TAHAN 2 BOT KARGO DENGAN HAMPIR 1,000 LITER BAHAN API TANPA PERMIT

TAWAU, 23 Januari – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau berjaya menahan dua buah bot kargo yang membawa muatan pelbagai barangan runcit dan barang kawalan dalam dua kes berasingan di sekitar Perairan Tawau semalam.

Pengarah ZM Tawau, Kepten (M) Shahrizan Raman berkata, terdahulu bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Ops Sejahtera dan Ops Pluto Timur telah berjaya mengesan sebuah bot kargo yang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Perairan Tawau menuju ke Pulau Sebatik di kedudukan 0.6 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau kira-kira pada pukul 5.50 petang.

Pemeriksaan lanjut ke atas bot terbabit mendapati seorang juragan lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun membawa pelbagai barangan runcit dan menyembunyikan muatan bahan api jenis petrol sebanyak 12 gelen dianggarkan kira-kira 300 liter. Pemeriksaan dokumentasi juga mendapati juragan tidak mempunyai sebarang kebenaran bagi membawa barang kawalan tersebut.

Dalam kes berasingan, sebuah lagi bot kargo turut ditahan di kedudukan 0.7 batu nautika selatan Pelabuhan Tawau pada pukul 6.30 petang hari yang sama.

Pemeriksaan awal ke atas bot yang ditahan mendapati seorang lelaki warga tempatan berusia 32 tahun bertindak selaku juragan membawa muatan pelbagai barangan runcit di dalam bot tersebut.

Pemeriksaan menyeluruh ke atas bot tersebut telah menemukan barang kawalan berjadual iaitu 5 gelen bahan api jenis petrol dan 19 gelen bahan api jenis diesel yang disembunyikan dibawah timbunan barang-barang runcit dengan anggaran sekitar 600 liter.

Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan tersebut gagal mengemukakan permit serta lesen yang sah berkaitan barang kawalan yang dibawa.

Kedua-dua bot kargo bersama juragan dan kesemua muatan ditahan dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk disiasat.

 

TAWAU MINYAK 2

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON