26
Sun, Apr

ZON MARITIM LAHAD DATU TAHAN DUA BOT NELAYAN ATAS PELBAGAI KESALAHAN

LAHAD DATU, 27 APRIL – Zon Maritim Lahad Datu menahan dua bot atas pelbagai kesalahan masing-masing di kedudukan 0.49 batu nautika Timur Kampung Pengkalan, Kunak dan 0.20 batu nautika Selatan Pulau Timbun Mata semalam.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna binti Razali Chan berkata hasil rondaan yang dilakukan, bot ronda Maritim Malaysia menerusi OP PLUTO TIMUR menahan bot-bot tersebut pada sekitar jam 10.15 dan 11.15 pagi.

Hasil pemeriksaan mendapati, kedua-dua bot itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen dan Seksyen 26 Akta yang sama kerana disyaki menangkap ikan menggunakan bahan letupan, racun dan sebagainya.

Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna menambah ketika penahanan dibuat seorang kru bot yang disyaki melakukan kesalahan bom ikan bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke daratan berhampiran setelah melihat kehadiran pihak berkuasa.

Bagi kesalahan melanggar syarat sah lesen Zon Maritim Lahad Datu menahan tiga lelaki tempatan dalam lingkungan umur di antara 33 hingga 41 tahun.

Antara kesalahan yang direkodkan termasuklah melakukan aktiviti menangkap ikan pada jarak kurang 0.49 batu nautika serta menangkap ikan menggunakan bahan letupan.

Turut dirampas bot pam serta sebuah enjin bot, segulung hos kompressor, dan satu botol bom ikan dengan keseluruhan nilai rampasan lebih lima ribu ringgit, kesemua yang ditahan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menyalurkannya ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu di talian 089-885727 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

ZM LD NELAYAN
 
ZM LD NELAYAN 3
 
ZM LD NELAYAN 4

KAPAL KOREK DITAHAN LANGGAR SYARAT MSO 1952

PELABUHAN KLANG, 26 April – Maritim Negeri Selangor telah menahan sebuah kapal korek dari Republique De Guinea Equatorial di luar kawasan batasan Pelabuhan Klang pukul 9.00 malam semalam. 

Pengarah Maritim Negeri Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin bin Muhammad Salleh berkata, kapal korek itu dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika dalam rondaan rutin OP EHSAN, OP TIRIS 3.0 dan OP KHAS PAGAR LAUT 1/2024 ketika sedang bersauh di kedudukan kira-kira 7.5 batu nautika barat daya Sungai Langat.

Hasil pemeriksaan mendapati, ‘Certificate Of Registry’ (COR) kapal itu disyaki palsu dan tidak sah.

Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah membatalkan ‘Domestic Ship Licence’ (DSL) bagi kapal tersebut.

Kapal itu dikendalikan oleh empat kru warga China berusia di antara 39 hingga 59 tahun.

Kesemua kru telah ditahan dan dibawa ke jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah seksyen 65D dan 65I Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan Ordinan Perlesenan Perkapalan Dalam Negeri 1981 (Pindaan 2011).

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Selangor di talian 03-31760627 atau MERS 999 untuk maklum balas segera.

 

WhatsApp Image 2024 04 26 at 12.31.25 PM
 
WhatsApp Image 2024 04 26 at 12.27.29 PM
 
WhatsApp Image 2024 04 26 at 12.27.30 PM 1

MINUMAN KERAS BESERTA BOT FIBER DAN ENJIN BERNILAI LEBIH RM472 RIBU DIRAMPAS MARITIM MALAYSIA

LABUAN, 25 APRIL - Atas maklumat risikan, minuman keras pelbagai jenama beserta sebuah bot pancung fiber dan tiga buah enjin yang dianggarkan bernilai lebih RM472 ribu telah dirampas Zon Maritim Labuan ketika cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan di kedudukan 2.9 batu nautika timur laut Pulau Balangkasan, Menumbok sekitar jam 5.10 pagi tadi.

Pengarahnya, Kepten Maritim Izwanhadi bin Idros berkata, menerusi rondaan operasi OP SEJAHTERA 1/2022, OP KHAS PAGAR LAUT 1/2024 dan OP TIRIS 3.0, bot ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot pancung fiber berwarna biru tanpa nombor pendaftaran pada jam lebih kurang 5.05 pagi sedang bergerak dalam keadaan mencurigakan dari Pulau Labuan menuju ke Menumbok di posisi lebih kurang 0.1 batu nautika utara Pulau Balangkasan, Menumbok.

Ujarnya, ketika menghampiri bot terbabit untuk pemeriksaan, bot pancung fiber tersebut bertindak memecut ke arah tebing hutan bakau muara Sungai Klias dan tekong bot telah melarikan diri ke hutan paya bakau berhampiran.

Pemeriksaan lanjut di dalam bot pancung fiber itu telah menemukan sejumlah 10,728 tin minuman keras dan botol pelbagai jenama dipercayai dibawa secara haram dan cuba diseludup keluar dari Pulau Labuan untuk pasaran tempatan.

Kesemua barang rampasan beserta bot pancung fiber diiring masuk ke jeti Zon Maritim Labuan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa keluar minuman keras tanpa cukai melebihi jumlah yang dibenarkan.

Usaha mengesan serta memburu dalang serta suspek diteruskan bagi memastikan pelaku jenayah dikenakan tindakan undang-undang yang tegas.

Jika disabitkan bersalah, mana-mana individu boleh dikenakan denda tidak lebih 20 kali ganda cukai barang yang cuba diseludup atau RM 500 ribu atau mana-mana amaun yang lebih tinggi atau penjara tidak lebih dari lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang maklumat, aduan atau insiden kecemasan di laut orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Labuan di talian 087-453777 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam.

 

IMG 1683   IMG 9752   IMG 1663

MARITIM NEGERI PERAK | RAMPAS 60 SET BUBU NAGA DI DUA LOKASI BERBEZA

LUMUT, 26 APRIL – Sebanyak 60 set bubu naga atau bubu kamban (China Prawn Net Trap) dirampas Maritim Negeri Perak pada dua kedudukan berbeza iaitu sekitar 0.4 batu nautika dari barat laut Pulau Talang lebih kurang jam 1.55 tengah hari rabu lalu dan sekitar 1.5 batu nautika dari barat Pantai Remis lebih kurang jam 1.53 tengah hari semalam .

Pengarahnya, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, bubu ini dikesan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang melaksanakan rondaan rutin dengan penemuan bendera berwarna merah serta pelampung yang diikat pada pancang kayu mencurigakan di dua lokasi terbabit.

Jelas beliau, bendera serta pelampung yang mencurigakan itu kemudiannya dirapati oleh pasukan bot ronda untuk pemeriksaan lanjut.

Hasil pemeriksaan mendapati bendera serta pelampung yang diikat pada pancang kayu berkenaan merupakan penanda kepada bubu naga yang dipasang oleh individu atau kumpulan yang tidak bertanggungjawab.

Kesemua bubu naga yang dianggarkan bernilai lebih RM4 ribu itu dirampas sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Sekiranya didapati bersalah, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan.

Sabit kesalahan, individu yang melakukan kesalahan berkenaan akan dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM20 ribu atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Sebarang maklumat, aduan dan inisden kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Perak di talian 05-6838737 untuk tindakan segera.

 

WhatsApp Image 2024 04 26 at 10.35.27 AM 7   WhatsApp Image 2024 04 26 at 10.35.26 AM 3   WhatsApp Image 2024 04 26 at 10.35.28 AM 2

.

LAGI 50 UNIT BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN KERIAN

KUALA KURAU, 24 APRIL – Zon Maritim Kuala Kurau telah merampas 50 unit bubu naga di dalam perairan Kerian, pagi tadi.

Pengarahnya, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata, kesemua bubu naga tersebut dirampas oleh pasukan bot peronda Maritim Malaysia ketika sedang melakukan rondaan di perairan Kerian.

Kesemua bubu naga itu dikesan melalui penemuan penanda pelampung dan bendera yang mencurigakan ketika dirapati untuk pemeriksaan.

Hasil pemeriksaan di pada kedudukan 1.0 batu nautika barat Kuala Gula menemukan sebanyak 50 unit bubu naga.

Kesemua bubu naga dianggarkan bernilai lebih enam ribu ringgit itu dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 iaitu memasang atau menyebabkan dipasang apa-apa belat ikan, peralatan menangkap ikan atau peranti mengumpul ikan tanpa lesen.

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

BUBU KURAU
 
BUBU KURAU 2
 
BUBU KURAU 3

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON