20
Mon, May

MARITIM NEGERI KELANTAN | EMPAT BOT, 43 NELAYAN VIETNAM DITAHAN

PASIR PUTEH, 24 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan berjaya menahan empat buah bot nelayan asing Vietnam pada kedudukan lebih kurang 125 hingga 150 batu nautika daripada muara Tok Bali Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Negeri Kelantan, Komander Maritim Khairun Dalilah binti Baharin berkata, kesemua tangkapan dilakukan oleh Kapal Maritim Amanah (KM Amanah) yang sedang melaksanakan rondaan di sempadan perairan Malaysia-Vietnam dalam OP DAMAI, OP KHAS KUDA LAUT, OP NAGA BARAT dan OP TIRIS.

Bot pertama dan kedua berjaya ditahan lebih kurang pukul 8.18 pagi dan 9.01 pagi berkenaan.

Semasa mengiringi kedua-dua bot tahanan ke jeti tahanan, kapal penguat kuasa telah mengesan dua lagi bot nelayan dalam keadaan mencurigakan di kawasan berhampiran. Kedua-dua bot ditahan sekitar pukul 2.32 petang dan 2.50 petang.

Kesemua bot tidak memberikan kerjasama dan cuba melarikan diri ke sempadan perairan negara apabila kapal penguat kuasa memberikan arahan untuk menghentikan bot.

Kapal penguat kuasa seterusnya bertindak memintas bot dan melakukan force boarding untuk menghentikan bot-bot berkenaan.

Setelah pegawai dan anggota penguat kuasa berjaya menaiki bot, bot akhirnya mengalah dan akur untuk memberikan kerjasama.

Tiada sebarang tindakan agresif daripada keempat-empat bot yang ditahan.

Bot pertama mempunyai lima orang kru termasuk tekong, bot kedua mempunyai 17 orang kru termasuk tekong manakala bot ketiga dan keempat masing-masing mempunyai 16 dan lima orang kru termasuk tekong menjadikan jumlah keseluruhan individu yang ditahan berjumlah 43 orang.

Kesemuanya disyaki warga Vietnam berumur di antara 16 hingga 61 tahun.

Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua bot yang ditahan merupakan bot nelayan asing Vietnam.

Berat keseluruhan hasil tangkapan dianggarkan berjumlah 6,000 kilogram.

Kesemua bot disyaki melakukan aktiviti perikanan secara haram di perairan negara dan disiasat di bawah Seksyen 15 (1) (a) kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran menangkap ikan di perairan Malaysia oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Empat tekong juga disyaki melanggar Seksyen 16 (3) Akta Perikanan 1985 kerana gagal memaklumkan pegawai berkuasa melalui radio atau faksimili tentang nama negara, bendera, lokasi laluan dan destinasi vesel, dalam hal memasuki perairan perikanan Malaysia

Tangkapan kali ini melibatkan 43 kru termasuk tekong, rampasan empat bot, peralatan menangkap ikan, peralatan navigasi dan komunikasi serta bekalan diesel 7,000 liter dengan anggaran RM3.86 juta.

Kesemua kru juga akan disiasat di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mempamerkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.  

Sabit kesalahan bagi kes perikanan, boleh dihukum denda sehingga RM6 juta kepada tekong dan RM600 ribu ke atas setiap kru mengikut Seksyen 25 (a) Akta Perikanan 1985, bot dan peralatan menangkap ikan juga boleh dilucut hak kepada kerajaan Malaysia.

Bagi kes di bawah Imigresen, tekong dan kru boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan hukuman sebatan tidak lebih daripada enam kali sebatan mengikut Seksyen 6 (3) Akta Imigresen 1959/63.

Proses membawa balik bot tahanan telah mengambil masa lebih 30 jam apabila salah sebuah bot tahanan mengalami kerosakan dan terpaksa ditunda sebelum tiba di Jeti Maritim Negeri Kelantan pada pukul 4.00 pagi Jumaat untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat.

Sebarang maklumat berkenaan aktiviti jenayah atau insiden di laut boleh terus disalurkan secara rasmi melalui talian Malaysia Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Kelantan di talian 09 – 778 0070.

 

KELANTAN BOT VIET 2
 
KELANTAN BOT VIET 4
 
KELANTAN BOT VIET 3
 
KELANTAN BOT VIET 5

ISS KE-25 | PENTAS PENTING PERKUKUH PERSEFAHAMAN KESELAMATAN MARITIM ANTARABANGSA

PUTRAJAYA, 23 September – Buat julung kali pada tahun 2023, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dijemput menyertai International Seapower Symposium yg ke-25 (ISS-25) anjuran Pejabat Chief of Naval Operations, United States Navy.

Program ini bermula dari 19 hingga 22 September di Naval War College, Rhode Island, Newport, Amerika Syarikat.

Penganjuran ISS-25 tahun ini melibatkan penyertaan ketua-ketua tentera laut dari 82 negara dan ketua-ketua Coast Guard dari 17 negara.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim hadir mewakili Maritim Malaysia berkata, ISS merupakan program yang signifikan sebagai platform kepada ketua-ketua tentera laut dan Coast Guard di peringkat antarabangsa untuk mengkaji cabaran semasa dalam bidang keselamatan maritim serta membuka ruang kepada negara-negara terlibat bagi mengukuhkan kerjasama sedia ada.

ISS-25 turut memberi ruang kepada peserta mewakili negara-negara maritim untuk berbincang mengenai kaedah terbaik dengan mewujudkan kerjasama serantau di peringkat antarabangsa bagi mencari penyelesaian dalam mendepani cabaran di peringkat global.

Sempena penganjuran simposium itu, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan bin Ibrahim berpeluang mengadakan perbincangan secara bersemuka dengan Commandant United States Coast Guard (USCG), Admiral Linda Fagan.

Perbincangan itu merangkumi inisiatif kerjasama strategik di antara Maritim Malaysia dan USCG dalam bidang latihan dan pembangunan kapasiti selain mengupas isu-isu berkaitan keselamatan maritim.

Selain itu, turut diadakan sesi pertemuan dengan Commander USCG Pacific Area, Rear Admiral Brendan McPherson dan Chief Republic of Singapore Navy, Rear Admiral Sean Wat.

Pertemuan itu telah mengupas pelbagai perkara penting berkaitan keselamatan dan keamanan maritim serantau serta memperkukuh dan mengeratkan hubungan kerjasama strategik yang sedia terjalin.

Untuk rekod, International Seapower Symposium ini telah dianjurkan buat pertama kali pada tahun 1969. Penglibatan julung kali Maritim Malaysia menerusi undangan daripada US Navy dan US Coast Guard telah melonjakkan imej positif Maritim Malaysia di persada dunia.

Secara tidak langsung ia menjadi satu pengiktirafan kepada Malaysia yang mempunyai agensi Coast Guard sendiri.

 

ISS 25
 
ISS 25 2
 
ISS 25 4
 
ISS 25 6

PATKOR OPTIMA MALINDO | PERKUKUH KERJASAMA ERAT PASUKAN KESELAMATAN MALAYSIA – INDONESIA

PUTRAJAYA, 21 September – Patroli Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim Malaysia - Indonesia atau singkatannya ‘PATKOR OPTIMA MALINDO’ Siri Ke 30B yang dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) menutup tirainya dengan berjaya memperolehi hasil positif melalui koordinasi operasi yang telah dilaksanakan.

Menurut Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Penyelarasan Maritim (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin Bin Haji Abdul Rashid berkata, antara hasil terbesar PATKOR OPTIMA MALINDO yang diperolehi pada tahun ini adalah persefahaman erat yang telah diterjemahkan menerusi bantuan operasi kejar buru dan penahan MT ARMAN 114 di perairan perbatasan Malaysia – Indonesia pada Julai 2023 lalu.

PATKOR OPTIMA MALINDO 2023 telah dilaksanakan menerusi dua siri seperti mana jadual tahunan iaitu yang pertama Siri 30A pada 4 hingga 14 Julai 2023 dengan Majlis Pembukaan Operasi dilaksanakan di Batam, Indonesia sementara yang kedua iaitu Siri 30B berlangsung pada 6 hingga 20 September 2023 seterusnya berakhir dengan Malaysia menjadi tuan rumah bagi penutupan operasi tersebut.

Menerusi PATKOR OPTIMA MALINDO ini, penglibatan Malaysia adalah dari pelbagai agensi penguat kuasa dengan Maritim Malaysia selaku Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM), Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan Pasukan Polis Marin (PPM) dan Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Laut Malaysia (JLM), Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) serta Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Sementara di pihak Indonesia, Badan Keamanan Laut Republik Indonesia (BAKAMLA RI) bertindak selaku Ketua TPOM dengan melibatkan agensi penguat kuasa lain iaitu Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI-AL), Polis Republik Indonesia (POLRI), Kementerian Kelautan dan Perikanan (KKP), Kesatuan Penjagaan Laut dan Pantai (KPLP), Direktorat Jenderal Bea dan Cukai (DJBC) serta Direktorat Jenderal Imigrasi (IMIGRASI).

PATKOR OPTIMA MALINDO merupakan program tahunan yang dilaksanakan antara kedua-dua negara. Fokus utama yang disasarkan adalah di perairan Selat Melaka. Antara objektifnya ialah menguatkuasakan undang-undang maritim dengan berkesan, meningkatkan kerjasama di antara agensi keselamatan melalui operasi bersepadu yang dilaksanakan, menjalinkan perhubungan dan permuafakatan di antara semua agensi keselamatan selain memberi keyakinan kepada komuniti maritim bahawa perairan Selat Melaka sentiasa selamat dan aman.

Selain perbincangan bersama oleh semua pasukan terlibat, operasi bersepadu yang dilaksanakan turut memberi kesedaran kepada komuniti maritim di kedua-dua negara bahawa pentingnya menghormati undang-undang ketika berada di laut. Malaysia telah melibatkan 56 aset laut dan udara daripada pelbagai agensi dan pasukan terlibat manakala Indonesia telah menugaskan sebanyak 9 aset laut bagi melaksanakan operasi pengawasan dan penguatkuasaan di sepanjang Selat Melaka di perairan negara masing-masing.

Menerusi operasi bersepadu PATKOR OPTIMA MALINDO Ke-30 bagi tahun 2023, Malaysia telah merekodkan keseluruhan sebanyak 1,618 pemeriksaan yang telah merekodkan sebanyak 85 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan. Manakala Indonesia pula merekodkan 176 pemeriksaan di laut. Secara tidak langsung, rondaan terkoordinasi yang dilaksanakan oleh semua unsur operasi yang terlibat berjaya mengekang daripada berlakunya ancaman kegiatan jenayah terutamanya jenayah rentas sempadan. Keberhasilan operasi ini jelas mendatangkan impak positif kepada kedua-dua negara.

Selain itu, antara kejayaan yang menarik perhatian sepanjang PATKOR OPTIMA MALINDO 2023 adalah, kejayaan program kolaborasi yang julung kali diadakan pada Siri ke 30 pada kali ini. Program kolaborasi adalah aktiviti yang memberi ruang kepada semua agensi terlibat mengoptimumkan platform kerjasama PATKOR OPTIMA MALINDO bagi memperkasakan persefahaman antara jabatan. Pasukan Polis Marin dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia telah berjaya mengkoordinasikan keseluruhan 4 program kolaborasi sepanjang operasi tahun ini.

Antara kejayaan program kolaborasi adalah, kejayaan PPM menggagalkan penyeludupan benih udang karang dari negara jiran yang merekodkan rampasan dianggarkan bernilai RM 3.3juta menerusi kolaborasi dengan Jabatan Perikanan Malaysia dan kejayaan kedua adalah mengkoordinasikan kolaborasi operasi bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta MAQIS yang merekodkan rampasan barang di Bawah Seksyen 135 Larangan Mutlak Akta Kastam 1967 yang dianggarkan bernilai RM 41,000.

Majlis Perasmian Penutup bagi PATKOR OPTIMA MALINDO 2023 telah dilaksanakan secara bersama di Geo Hotel & Resort, Genting Highlands oleh Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Pengawasan Maritim (BPPM), Laksamana Muda Maritim Aminuddin bin Haji Abdul Rashid, selaku Ketua TPOM Malaysia dan Ketua TPOM Indonesia, Laksamana Pertama BAKAMLA Friche Flack , M.Tr.Opsla.

Usaha sama dan kolaborasi strategik yang berkesan di antara kedua-dua negara telah berjaya dicapai. PATKOR OPTIMA MALINDO berupaya menjadi pentas kerjasama strategik antara kedua-dua negara dalam membanteras jenayah rentas sempadan serta mengimplementasikan praktis penguatkuasaan yang terbaik dan relevan.

 

PATKOR
 
PATKOR 3
 
PATKOR 5
 
PATKOR 6

MARITIM MALAYSIA LUPUS DADAH BERNILAI LEBIH RM27 JUTA

PORT DICKSON, 21 September – Dadah seberat 1,301 kilogram bernilai lebih RM27 juta telah berjaya dilupuskan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Cenviro Sdn. Bhd. di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Tuan Khairul Anwar bin Bachok berkata, pelupusan dadah yang terdiri dari jenis Ganja, Heroin, Morfin, Methamphetamine dan MDMA ini dilaksanakan selepas Maritim Malaysia menerima perintah rasmi Mahkamah untuk dilucut hak setelah kes berkenaan selesai dibicarakan.

Beliau turut berkata, dadah-dadah tersebut adalah hasil rampasan yang dilakukan oleh Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Zon Maritim Kuala Perlis, Zon Maritim Tanjung Sedili, Johor dan Zon Maritim Batu Pahat, Johor pada tahun 2020 dan awal tahun 2023.

Katanya, proses pelupusan dadah ini dijalankan dengan menggunakan kaedah pembakaran melalui inkubator yang diuruskan oleh Cenviro Sdn. Bhd. Kaedah ini telah dipilih kerana ia merupakan salah satu cara yang selamat dan berkesan untuk memusnahkan dadah yang dirampas tanpa mencemari alam sekitar.

Beliau berkata demikian pada sesi sidang media Majlis Pelupusan Dadah Lucut Hak Kes Maritim Malaysia di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam bin Zakaria, Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa, Pengurus Besar, Perkhidmatan Korporat, Cenviro Sdn. Bhd. En. Wan Azrizul Azad Zainal Abidin serta Timbalan Pengurus Besar, Operasi,Cenviro Sdn. Bhd. En. Mohd. Rizal Zambros.

Khairul Anwar juga berkata, proses pelupusan dadah ini telah dijalankan secara berperingkat dan teliti bagi memastikan keselamatan semua pihak yang terlibat.

Bercakap kepada media, Khairul Anwar menegaskan pihak Maritim Malaysia akan meningkatkan lagi rondaan dan penguatkuasaan di kawasan perairan negara khususnya di lokasi titik panas (hotspot) yang disyaki menjadi lokasi kegiatan jenayah seperti penyeludupan dadah di laut.

Terdahulu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Cenviro Sdn. Bhd kerana menjayakan program pelupusan dadah pada kali ini.

 

LUPUS DADAH
 
LUPUS DADAH 2
 
LUPUS DADAH 4
 
LUPUS DADAH 3

LANGGAR SYARAT LESEN, BOT PUKAT RAWA SORONG DITAHAN

KUALA KURAU, 18 September – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Zon Maritim Kuala Kurau telah menahan sebuah bot nelayan tempatan jenis pukat rawa sorong di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Pulau Sangga Besar pada sekitar pukul 9.50 malam semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Najhan bin Azman Hamid berkata pasukan bot peronda Maritim Malaysia di atur gerak ke lokasi tangkapan sejurus Pusat Operasi (PUSOP) Zon Maritim Kuala Kurau menerima aduan awam.

Hasil pemeriksaan menemukan dua orang nelayan tempatan termasuk tekong berumur 49 dan 55 tahun berada di bot terbabit.

Pemeriksaan lanjut mendapati bot berkenaan tidak memiliki lesen yang sah dan disyaki menggunakan pukat rawa sorong sebagai peralatan untuk menangkap ikan.

Kedua-dua nelayan, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan serta dibawa ke jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (a) Akta Perikanan 1985 kerana mengoperasikan vesel penangkapan ikan tanpa lesen yang sah dan Seksyen 11(3)(b) akta yang sama iaitu memiliki peralatan menangkap ikan yang tidak dilesenkan.

Maritim Malaysia menyeru kepada semua komuniti maritim agar sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan demi kesejahteraan ekosistem maritim Malaysia

Sebarang aduan, salah laku dan insiden kecemasan yang berlaku di laut, orang ramai boleh melaporkan kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kuala Kurau di talian 05-7279919 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

 

RAWA SORONG

More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON