01
Mon, Jun

MARITIM MALAYSIA PERSIAP SAREX EX LIMBAWAN 2026

KOTA KINABALU, 1 APRIL – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) memulakan persiapan awal bagi Search and Rescue Exercise (SAREX) Ex Limbawan 2026 melalui lawatan tapak dan Mesyuarat Middle Planning Conference (MPC) yang berlangsung di sini, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Sabah, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar bin Abd Razali @ Razali berkata, SAREX Ex Limbawan 2026 bukan sekadar latihan menguji keupayaan aset dan anggota, malah menjadi medan memperkukuh kerjasama strategik antara agensi.

“Latihan seumpama ini amat penting bagi memastikan setiap agensi berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi dalam menghadapi sebarang kecemasan maritim,” katanya.

Beliau berkata, lawatan tapak di Jeti Maritim Malaysia Sepanggar memberi gambaran awal kepada agensi terlibat mengenai kawasan operasi, susun atur lokasi serta keperluan fasiliti bagi memastikan pelaksanaan eksesais berjalan lancar.

Maritim Negeri Sabah selaku tuan rumah eksesais turut menggerakkan penyelarasan awal dengan penglibatan pegawai kanan termasuk Pemangku Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Lahuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak binti Abd Aziz, Penolong Pengarah Kanan MRSC Kota Kinabalu, Leftenan Komander Maritim Hizam bin Zulkifli (hadir secara sidang video), serta Penolong Pengarah MRSC Kota Kinabalu, Leftenan Maritim Mohamad Pairul bin Mohd Bacuk.

Manakala Mesyuarat MPC yang berlangsung di Kota Kinabalu telah dipengerusikan bersama Timbalan Pengarah Bahagian Carilamat dan Bantuan Bencana (BCLBB) Maritim Malaysia, Kepten Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim merangkap selaku Pengarah Latihan, dan wakil MPM Petronas, Mohamad Azam bin Abdullah selaku Timbalan Pengarah Eksesais terbabit.

“Seramai 31 agensi kerajaan dan swasta mengambil bahagian dalam sesi tersebut,” tambah beliau.

Terdahulu, mesyuarat berkenaan telah membincangkan penetapan tarikh eksesais, lokasi operasi, keperluan fasiliti serta penglibatan aset laut dan darat daripada agensi berkaitan termasuk aset daripada agensi sahabat.

Penganjuran SAREX Ex Limbawan 2026 diharap menjadi platform berkesan untuk menguji kecekapan, keupayaan dan tahap koordinasi antara agensi, sekali gus memperkukuh kesiapsiagaan negara dalam menghadapi insiden kecemasan maritim.

SAREX LIMBAWAN
 
 SAREX LIMBAWAN2
 
SAREX LIMBAWAN3
 
SAREX LIMBAWAN5

NELAYAN HILANG DITEMUKAN TERDAMPAR, MENINGGAL DUNIA

MERSING, 30 MAC - Seorang nelayan tempatan yang dilaporkan hilang ketika menjaring ikan di perairan Tanjung Leman malam semalam ditemukan meninggal dunia oleh penduduk kampung di Pantai Tanjung Rhu, awal pagi tadi.
Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin memaklumkan, terdahulu pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 9.25 malam melalui Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru susulan aduan dibuat oleh adik mangsa menerusi talian kecemasan 999.
“Operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) digerakkan segera sebaik maklumat diterima bagi memastikan pencarian dilaksanakan secara pantas dan berkesan,” katanya.
Menurut beliau, berdasarkan maklumat rakan mangsa, lelaki berkenaan dipercayai terjatuh ke laut ketika melakukan aktiviti menjaring ikan.
Komander Maritim Suhaizan turut berkata, bot milik mangsa kemudian ditemui dalam keadaan tersangkut pada jaring tanpa kehadiran mangsa di lokasi kejadian.
Susulan itu, tim darat Op JAKSA / Op TIRIS 3.0 Zon Maritim Mersing digerakkan ke lokasi berikutan keadaan air surut serta kawasan berbatu bagi melaksanakan pencarian awal di sekitar pesisir pantai Tanjung Rhu.
Mangsa yang dikenali sebagai Mohamad Shah Mohd Yasin, 41, ditemukan oleh penduduk kampung pada jam 2 pagi dalam keadaan terdampar dan disyaki telah meninggal dunia.
Dalam pada itu, Komander Maritim Suhaizan menasihatkan komuniti nelayan agar sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berada di laut termasuk memakai peralatan keselamatan yang bersesuaian bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi terlibat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Perikanan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tentera Darat Malaysia atas kerjasama dalam operasi berkenaan.

NEL HLG MER
 
NEL HLG MER3

KEBAKARAN KAPAL KARGO: MARITIM MALAYSIA EVAKUASI LIMA KRU CEDERA

KOTA TINGGI, 25 MAC – Tindakan pantas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya menyelamatkan lima anak kapal warga Thailand dalam satu operasi pemindahan perubatan (medevac) selepas kapal kargo yang mereka naiki mengalami kebakaran di bahagian rumah masak, pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku sekitar pukul 10.20 pagi di kedudukan kira-kira 30 batu nautika timur Tanjung Sedili. Kebakaran tersebut bagaimanapun berjaya dikawal sepenuhnya oleh anak kapal sebelum bantuan tiba.

Maklumat kecemasan kemudiannya diterima oleh Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru pada pukul 12.20 tengah hari.

Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd Najib Sam berkata, sejurus menerima laporan, pihaknya segera menggerakkan bot PERKASA 30 ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi menyelamat.

Menurut beliau, kesemua lima kru lelaki berusia antara 25 hingga 61 tahun itu mengalami kecederaan melecur, dengan sebahagian daripadanya dikategorikan sebagai serius.

“Maritim Malaysia telah menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum melaksanakan operasi medevac bagi membawa kesemua mangsa ke daratan untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, Maritim Malaysia akan terus komited dalam memastikan keselamatan perairan negara sentiasa terpelihara serta memberi bantuan segera kepada komuniti maritim yang memerlukan.

Operasi berkenaan tamat sepenuhnya setelah semua mangsa berjaya dipindahkan dan diserahkan kepada pihak perubatan untuk tindakan lanjut.

KARGO BAKOR
 
KARGO BAKOR2
 
KARGO BAKOR3

40 BUBU NAGA DIRAMPAS DI PERAIRAN KUALA KURAU

KUALA KURAU, 27 MAC – Aktiviti penangkapan ikan secara haram menggunakan bubu naga di perairan Kuala Kurau berjaya digagalkan apabila sebanyak 40 unit peralatan itu dirampas dalam operasi penguatkuasaan oleh Zon Maritim Kuala Kurau, kira-kira 7.8 batu nautika ke arah barat Kuala Kurau hari ini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Hairil Othman berkata, pemeriksaan mendapati kesemua bubu naga tersebut disyaki digunakan bagi aktiviti penangkapan ikan secara tidak sah iaitu melibatkan penggunaan peralatan yang tidak dibenarkan di bawah Akta Perikanan 1985.

Tambah beliau, penggunaan peralatan berkenaan bukan sahaja melanggar peraturan, malah berpotensi menjejaskan ekosistem marin serta memberi kesan kepada hasil tangkapan nelayan tempatan yang mematuhi undang-undang.

“Tiada individu atau kru ditemui di lokasi semasa operasi dijalankan. Kesemua bubu naga yang dirampas telah dibawa ke Zon Maritim Kuala Kurau untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” kata beliau lagi.

Tegasnya, pendekatan berterusan itu penting bagi memastikan kelestarian sumber perikanan negara tidak terus terjejas akibat kegiatan tidak bertanggungjawab.

Maritim Malaysia akan terus memperhebat rondaan dan operasi penguatkuasaan, khususnya di kawasan yang dikenal pasti sebagai hotspot aktiviti penangkapan ikan secara haram.

BUBU KURAU
 
BUBU KURAU2
 
BUBU KURAU3

VESEL NELAYAN KELAS C DITAHAN MARITIM PERAK, DISYAKI LANGGAR SYARAT LESEN DAN KESALAHAN IMIGRESEN

LUMUT, 25 MAC – Maritim Negeri Perak telah menahan sebuah vesel nelayan kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen serta melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen dalam satu operasi penguatkuasaan menerusi Op KHAS TANJUNG 2 / Op KHAS PAGAR LAUT 1/2026, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Maritim Mohamad Shukri bin Khotob berkata, vesel berkenaan telah ditahan oleh aset Maritim Malaysia pada kedudukan kira-kira 5.5 batu nautika barat daya Pulau Buloh, sekitar pukul 8.08 malam.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati vesel itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan iaitu 15 batu nautika dari daratan terhampir, selain dipercayai menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.

Tambah beliau lagi, pemeriksaan lanjut mendapati seramai lima orang kru warga Myanmar termasuk tekong berada di atas vesel berkenaan dan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Maritim Negeri Perak akan terus mempergiat rondaan dan operasi penguatkuasaan bagi memastikan perairan negara sentiasa terpelihara daripada sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang serta pelanggaran syarat lesen perikanan”, kata beliau.

Vesel bersama kru serta hasil tangkapan dianggarkan lebih kurang 250 kilogram ikan campur telah diiring masuk ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Kampung Acheh untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak bagi tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.

NELAYAN KELAS LUMUT3
 
NELAYAN KELAS LUMUT2
 
NELAYAN KELAS LUMUT4




More Articles ...

hrmis JPA kkdnlogo KSN logo mampu MDEC MyGov SPA tourism malaysia cropped logo SPRM AMSAS
 
APLIKASI ICON    KERJAYA ICON BLUE   ONLINE SISTEM ICON    SEAHAWK ICON BLUE    VIDEO ICON   VIDEO MEDIA BLUE   VIDEO ICON