TANJUNG MANIS, 7 Mac – Zon Maritim Tanjung Manis telah menahan sebuah Bot Nelayan Tempatan (BNT) Kelas C ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda pada jarak lebih kurang 8.2 batu bautika barat Kampung Penipah. Bot tersebut ditahan sekitar jam 2.33 petang. Penahan yang dibuat adalah hasil daripada maklumat awam yang diterima.
Satu pasukan menggeledah telah diaturgerak bagi melaksanakan operasi berkenaan. Setelah tiba di lokasi, bot tersebut diperiksa dan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dengan melakukan aktiviti menunda di zon larangan. Bot tersebut juga disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/1963 di mana seorang daripada awak-awak merupakan warga Indonesia memiliki dokumen pengenalan diri yang tamat tempoh.
Bot nelayan tersebut dipercayai berasal dari Bintangor kemudiannya telah ditahan dan diiringi masuk ke Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Tanjung Manis untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi tindakan selanjutnya. Hasil tangkapan ikan campur juga turut dirampas dan kesemuanya bernilai RM 8,900.
Pengarah Zon Maritim Manis, Komander Maritim Mohd Ariz bin Md Kassim mengucapkan terima kasih di atas kerjasama serta maklumat daripada komuniti nelayan dan orang ramai.
Maritim Negeri Sarawak akan sentiasa mempergiatkan usaha pemantauan serta rondaan yang berterusan bagi memastikan sebarang aktiviti-aktiviti yang melanggar atau menyalahi undang-undang di laut dapat dibendung serta dibenteras dengan sewajarnya.