JOHOR BAHRU, 22 OKT - Operasi Patroli Terkoordinasi Operasi Tindakan Maritim (PATKOR OPTIMA) merupakan operasi bersepadu antara agensi-agensi penguatkuasaan maritim dari Malaysia dan Indonesia.
Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Dan Penyelarasan Maritim, Kepten (M) Nurul Hizam Bin Zakaria berkata, operasi ini telah dilaksanakan sejak 7 hingga 20 Oktober 2019. Ini merupakan operasi yang diadakan secara dwi tahunan yang telah dijalankan selama 28 tahun.
Sepanjang operasi dilaksanakan, sebanyak 655 pemeriksaan telah diadakan. Manakala, 37 tangkapan telah dilakukan yang melibatkan pelabagai kesalahan maritim.
Antaranya, kesalahan dibawah Akta Perikanan, Akta Kastam, Akta Pelantar Benua, Akta Imigresen dan Ordinan Perkapalan Saudagar diantara kedua-dua negara.
“Sebanyak 42 aset dari Malaysia dan enam buah aset dari Indonesia diatur gerakan untuk membuat pengawasan di sepanjang Selat Melaka,” katanya.
Acara Perasmian Penutup operasi ini telah disempurnakan oleh Laksamana Pertama Maritim Aminuddin bin Hj Abdul Rashid selaku Ketua Tim Perancang Operasi Maritim (TPOM) bagi Negara Malaysia dan Laksamana Pertama BAKAMLA Nursyawal Embun, Direktor Operasi Laut BAKAMLA selaku Ketua TPOM bagi Negara Indonesia.
Sumber: Unit Komunikasi Korporat Maritim Negeri Johor