KOTA KINABALU, 25 APRIL – Mangsa insiden tembakan di Lahad Datu pada 7 April lalu, Bintara Muda Maritim Zainal Abas bin Komel yang merupakan ketua BOT BANGGI 48 menerima lawatan daripada ahli keluarga terdiri daripada isteri dan anak-anak di Hospital Queen Elizabeth I selasa lepas.
Ketibaan keluarga beliau disambut mesra isteri Pengarah Maritim Negeri Sabah, Datin Norazlina binti Ibrahim, diiringi Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan di Balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.
Kehadiran ahli keluarga anggota berkenaan telah memberikan semangat dan sokongan kepadanya untuk menjalani pembedahan kali kedua serta menjadi pembakar semangat untuknya terus berjuang demi bangsa dan negara.
Pada sesi sambutan itu Datin Norazlina turut menyampaikan sumbangan ikhlas kepada anggota dan keluarga serta sempat memberikan kata-kata semangat kepada mereka agar tabah dengan ujian ini.
Turut hadir sama dalam lawatan kebajikan ini ialah Ketua Penolong Pengarah (KPP) Penguatkuasaan dan Eksesais (P&E) juga selaku Pemangku Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Komander Maritim Siti Khairunnisak binti Abd Aziz, Pegawai Memerintah KM IKHLAS, Leftenan Komander Muhamad Soleh bin Halim yang juga Pengerusi Kelab Kebajikan dan Sukan Maritim Malaysia (KESMAR) serta pegawai-pegawai dari Ibu Pejabat Maritim Negeri Sabah.
Komander Maritim Ts. Dr. Suzanna Razali Chan turut meminta agar mendoakan Bintara Muda Maritim Zainal Abas bin Komel dipermudahkan semua urusan beliau dan keluarga.