GEORGETOWN, 10 Januari – Maritim Negeri Pulau Pinang menahan seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang sedang bekerja di sebuah sangkar ikan kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri pada Ahad lalu.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak bin Mohamed berkata, anggota penguat kuasa bot ronda Maritim Malaysia telah melakukan pemeriksaan ke atas sebuah sangkar ikan di kawasan Sungai Udang pada kedudukan 2.7 batu nautika barat Batu Kawan lebih kurang jam 5.30 petang ketika melaksanakan rondaan OP PERTIWI.
Hasil pemeriksaan mendapati, seorang pekerja sangkar Aung Myint Thu, 17, warga Myanmar gagal mengemukakan atau tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
Pekerja sangkar terbabit ditahan seterusnya dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Maritim Malaysia menasihati pemilik sangkar ikan agar mematuhi peraturan dan undang-undang sedia ada bagi mengelakkan sebarang tindakan tegas diambil oleh pihak berkuasa.
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian (04-2626146) atau talian kecemasan MERS 999.