PROGRAM GOTONG ROYONG SEMPENA HARI KESEDARAN KESELAMATAN MARITIM
KLANG, 7 Jun - Agensi Penguatkuasaan Maritim Negeri Selangor telah mengadakan program gotong-royong pembersihan pantai sempena Hari Kesedaran Keselamatan Maritim Peringkat Kebangsaan yang diadakan setiap 6 Jun.
Program gotong-royong itu telah melibatkan pegawai dan anggota seramai 40 orang bagi program pembersihan pantai di Tanjung Harapan Klang. Program dimulakan dengan perbarisan pagi seterusnya pembersihan dilakukan di kawasan pantai. Selain dari itu poster keselamatan maritim juga telah diedarkan kepada komuniti maritim yang berada di kawasan tersebut.
Objektif pelaksanaan program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada komuniti maritim secara umumnya berkenaan keselamatan di laut. Ia juga sebagai panduan mengenai langkah-langkah yang perlu diambil sekiranya berlaku kemalangan di laut.
KONTIJEN MARITIM NEGERI SABAH DAN W.P LABUAN SERTAI PERBARISAN ANZAC DAY COMMEMORATION ‘LES WE FORGET’
KOTA KINABALU, 25 APRIL – Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan telah mengambil bahagian dalam Perbarisan Anzac Day Commemoration 'Lest We Forget' yang berlangsung di Tugu Peringatan Perang Dunia Pertama, Jalan Tugu semalam.
Pengarahnya, Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi bin Che Engku Daik berkata, tujuan perbarisan ini adalah bagi memperingati pengorbanan semua askar Australia dan New Zealand atau singkatannya ANZAC yang gugur dalam Perang Dunia Kedua di Sabah.
Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri I, Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Yang Berhormat Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey G. Kitingan yang mewakili Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, juga pegawai-pegawai kanan termasuk Pegawai Memerintah Kapal.
Kontijen Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan diketuai oleh Leftenan Muda Maritim Mohd Ariff bin Abdul Halim serta 30 pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berpangkalan di Kota Kinabalu.
Penyertaan Maritim Malaysia dalam perbarisan ini adalah bagi meniupkan rasa kecintaan tanah air dan semangat menghargai kemerdekaan dalam kalangan warga Maritim Malaysia di samping memberi inspirasi untuk terus memartabatkan kedaulatan negara.